Perdana Menteri sempurnakan Majlis Perasmian Rasmi AIPA 2025 esok

Perdana Menteri sempurnakan Majlis Perasmian Rasmi AIPA 2025 esok

PERHIMPUNAN Agung Antara Parlimen ASEAN ke-46 (AIPA GA) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) .
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 25 delegasi antarabangsa mengambil bahagian pada Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) Ke-46 yang berlangsung dari semalam hingga 22 September di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Persidangan enam hari itu menghimpunkan lapan negara anggota AIPA iaitu Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Selain itu, 13 negara pemerhati terdiri dari Australia, Azerbaijan, Kanada, Parlimen Eropah, Georgia, India, Jepun, Maghribi, Norway, Pakistan, Rusia, Turkiye dan Ukraine turut serta menghadiri persidangan tersebut.

Tiga lagi negara iaitu Algeria, Brazil dan Sepanyol hadir sebagai tetamu khas pada persidangan kali ini.

Mesyuarat hari ini memberi tumpuan kepada peranan wanita dan belia melalui penganjuran Forum Kepimpinan Politik Wanita WAIPA ke-2 serta perbincangan meja bulat Ahli Parlimen Muda AIPA (YPA) bertemakan Youth in Action.

Sesi tersebut menyediakan ruang kepada kedua-dua kelompok itu untuk membincangkan peranan mereka dalam kepimpinan politik serta penyertaan dalam dasar pembangunan rantau ini.

Selain mesyuarat awal peringkat sekretariat dan jawatankuasa, forum berkenaan menjadi agenda penting sebelum majlis perasmian esok.

Esok, acara kemuncak ialah Majlis Perasmian Rasmi AIPA 2025 yang akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Merdeka, WTCKL.

Persidangan AIPA kali ini menjadi platform penting menghimpunkan delegasi antarabangsa bagi membincangkan isu dasar, memperkukuh kerjasama dan peranan parlimen dalam pembangunan ASEAN. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×