KUALA LUMPUR: Pemerkasaan peranan Parlimen dalam menguatkuasakan undang-undang berkaitan kawalan minuman beralkohol di ASEAN, antara resolusi dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Hal Ehwal Sosial sempena Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) Ke-46, hari ini.
Laporan yang mengandungi lima resolusi itu dibentangkan oleh Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof semasa sesi plenari kedua di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini.
Beliau berkata, jawatankuasa mengiktiraf pengambilan alkohol kekal sebagai penyumbang utama kepada penyakit, kecederaan dan kematian pramatang dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN.
“Ia memberi kesan secara tidak seimbang kepada golongan muda, wanita dan golongan rentan serta menimbulkan cabaran besar terhadap kesihatan awam, keselamatan jalan raya, kestabilan sosial, pertumbuhan ekonomi dan pembangunan mampan.
“Jawatankuasa menekankan kepentingan menangani jurang dasar dan kelemahan penguatkuasaan yang masih wujud di seluruh ASEAN serta kebimbangan terhadap ketersediaan, kemampuan dan pemasaran alkohol secara agresif di rantau ini,” katanya.
Azli berkata, resolusi kedua adalah mengenai pengukuhan perlindungan sosial untuk golongan rentan dalam menghadapi krisis iklim di ASEAN.
Jelasnya, barisan jawatankuasa membincangkan keperluan mendesak untuk memperkukuh perlindungan sosial kepada golongan rentan di ASEAN memandangkan krisis iklim yang semakin meruncing.
“Ahli Parlimen AIPA mengulangi komitmen mereka terhadap penyertaan inklusif dalam tindakan iklim, khususnya bagi masyarakat orang asal, komuniti undang-undang adat dan komuniti tempatan yang mencerminkan kepelbagaian istilah di seluruh ASEAN.
“Mesyuarat turut menyeru kepada kesiapsiagaan bencana yang lebih kukuh, akses yang lebih baik kepada penjagaan kesihatan dan keselamatan air serta langkah strategik yang sejajar dengan ASEAN 2045 untuk membina ketahanan dan menyokong pembangunan mampan,” katanya.
Beliau berkata, resolusi lain termasuk pembentukan ASEAN yang inklusif dan mampan dalam menangani cabaran semasa berkaitan dadah dan menggalakkan penyelarasan piawaian pendidikan dan pengiktirafan bersama kemahiran teknikal dan latihan vokasional (TVET) untuk membangunkan sumber manusia digital.
Menurutnya, resolusi kelima pula menggalakkan akses kepada penjagaan kesihatan yang berkualiti dan mampu milik untuk semua golongan. – UTUSAN









