KUALA LUMPUR: Institusi Parlimen bukan sekadar ruang untuk berdialog atau berbahas, sebaliknya medium membentuk peraturan yang mengawal selia masyarakat.
Setiausaha Agung Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA), Siti Rozaimeriyanty Abdul Rahman berkata, melalui fungsi semak dan imbang, ahli Parlimen perlu memastikan institusi itu bertanggungjawab serta menterjemahkan komitmen kepada pelaksanaan.
Katanya, sebagai contoh semasa sesi belanjawan, sebagai penggubal dasar ahli Parlimen akan membuat keputusan yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat, khususnya kelompok paling memerlukan.
“Sebagai wakil rakyat yang dipilih, ahli Parlimen membawa suara rakyat ASEAN ke peringkat perbincangan serantau. Suara inilah yang memastikan ASEAN bukan sebuah projek yang digerakkan oleh golongan elit semata-mata, sebaliknya mencerminkan serta memenuhi aspirasi 670 juta warganya.
“Perhimpunan Agung ini bukan hanya berkaitan dengan resolusi atau deklarasi, tetapi tentang menegaskan semula peranan penting Parlimen sebagai jambatan antara kerajaan dengan rakyat, antara komitmen dengan pelaksanaan, serta antara visi dengan realiti,” katanya.
Bekas Ahli Majlis Mesyuarat Negara Brunei itu berkata demikian semasa ucapan pembukaan sempena Majlis Perasmian AIPA Ke-46 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.
Ia turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN dan Presiden AIPA, Tan Sri Johari Abdul.
Sebanyak 25 delegasi antarabangsa mengambil bahagian sempena AIPA yang berlangsung sehingga 22 September ini.
Persidangan enam hari itu menghimpunkan lapan negara anggota iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Singapura, Thailand dan Vietnam. – UTUSAN









