Pakatan tentera negara Islam boleh direalisasikan - Utusan Malaysia

Pakatan tentera negara Islam boleh direalisasikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penubuhan pakatan ketenteraan membabitkan negara Islam ala Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) merupakan satu cadangan yang realistik untuk dilakukan memandangkan ancaman Israel adalah nyata.

Hal ini dibuktikan apabila rejim Zionis itu dengan sewenang-wenangnya menyerang enam negara Islam hanya dalam sembilan bulan kebelakangan ini iaitu Palestin di Gaza dan Tebing Barat, Lubnan, Syria, Yaman, Iran serta terbaharu Qatar.

Bahkan, ancaman Israel terhadap negara Islam khususnya di Asia Barat disifatkan lebih bahaya daripada ancaman pengganas Al-Qaeda yang sebelum ini pernah bermaharajalela di rantau tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Geostrategi, Dr. Azmi Hassan berkata, penubuhan pakatan ketenteraan ala NATO membabitkan negara Islam adalah sangat realistik memandangkan Majlis Kerjasama Negara Teluk (GCC) mempunyai struktur kerjasama pertahanan, namun belum diaktifkan.

AZMI HASSAN

Katanya, pakatan ketenteraan sebegini pernah diadakan sekitar 2015 membabitkan 40 buah negara Islam termasuk Malaysia yang diketuai Arab Saudi untuk menaturalisasikan ideologi ekstremis seperti Al-Qaeda, Daulah Islamiah dan lain-lain.

“Pakatan itu digelar NATO Negara Islam yang diketuai oleh Arab Saudi untuk menghapuskan ancaman Al-Qaeda dan lain-lain yang ketika itu begitu kuat.

“Jadi sekarang ini, ancaman Israel adalah nyata dan begitu kuat sekali bukan sahaja kepada negara Arab, Iran tetapi keseluruhan negara Islam yang bersimpati terhadap perjuangan Palestin.

“Oleh demikian, perkara ini amat realistik dan boleh dilaksanakan dengan mengadakan satu latihan ketenteraan secara bersama untuk memberi mesej atau isyarat bahawa negara Islam berani melakukannya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Azmi berkata, perkara itu le­bih mudah untuk dilaksanakan memandangkan pengaruh Israel khususnya di Barat semakin berkurang apabila banyak negara Eropah tampil menyokong penubuhan Palestin berdaulat.

“Ya, Israel ada sokongan Amerika Syarikat (AS) tetapi negara Eropah kini sudah mula sedar dan menyokong penubuhan Palestin berdaulat lebih-lebih lagi melihatkan apa yang sedang berlaku di Gaza ketika ini,” katanya.

Pada Sidang Kemuncak Ter­gempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Doha, Qatar, negara-negara Islam dicadangkan untuk mewujudkan pakatan ketenteraan bersama dalam menghadapi ancaman berterusan daripada Israel termasuk serangan terbaharunya ke atas ibu negara Qatar.

Walaupun perkara itu gagal dicapai pada mesyuarat tersebut, tetapi ia akan dipanjangkan ke Mesyuarat GCC untuk mengaktifkan mekanisme pertahanan bersama.

Keperluan untuk mewujud­kan kerjasama ketenteraan da­lam kalangan negara-negara Islam sebelum ini telah dibangkitkan oleh Perdana Menteri Iraq, Mohammed Shia al-Sudani.

Sementara itu, Penganalisis Keselamatan dan Geopolitik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Mohamad Faisol Keling berkata, pakatan pertahanan negara Islam sepatutnya sudah lama diwujudkan kerana idea Israel Raya turut merangkumi tanah Arab.

Katanya, penubuhan pakatan ketenteraan yang perlu dimulakan dengan membabitkan ahli GCC dan negara Afrika Utara yang berminat, bukan berorientasikan sikap agresif.

“Tetapi ia merupakan keselamatan kolektif untuk mengimbangi kerakusan Israel di Timur Tengah. Selama ini negara Arab sudah dipecah belahkan mengikut orientasi Barat sejak awal 1800 sehinggalah terbentuknya negara moden.

“Sepatutnya negara Arab belajar daripada sejarah dan sedar akan kerakusan kuasa Barat dan Israel terhadap dunia Islam dan Asia Barat,” katanya.

Beliau berkata, ke­kuatan Negara Teluk itu tidak boleh hanya dilihat dalam konteks aset persenjataan semata-mata.

“Pakatan ini juga lebih kaya daripada sudut minyak yang pernah menjadi alat tawar menawar Arab Saudi seperti yang dilakukan (Almarhum) Raja Faisal pada 1970 sehinggakan AS buat pertama kalinya tunduk kepada kuasa mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×