Diskriminasi digital ancam kepimpinan wanita ASEAN

Diskriminasi digital ancam kepimpinan wanita ASEAN

PERHIMPUNAN Agung Antara Parlimen ASEAN ke-46 (AIPA GA) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) .
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemimpin wanita kini berdepan bentuk diskriminasi baharu melalui platform digital selain gangguan berasaskan jantina yang masih membelenggu golongan itu. 

Pengerusi Ahli Parlimen Wanita AIPA (WAIPA), Alice Lau Kiong Yieng berkata, perkara itu menuntut tindakan kolektif ahli parlimen anggota ASEAN bagi mewujudkan persekitaran politik yang lebih selamat dan inklusif.

Beliau berkata, ruang digital sememangnya membuka peluang luas kepada wanita namun pada masa sama mendedahkan golongan itu kepada cabaran diskriminasi moden.

“Ruang digital turut mendedahkan pemimpin wanita kepada bentuk diskriminasi baharu.

“Justeru itu, ia memerlukan perhatian serius kerana boleh mengekang penglibatan aktif wanita dalam kepimpinan politik dan proses membuat keputusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Forum Kepimpinan Politik Wanita WAIPA ke-2 yang diadakan bersempena Perhimpunan Agung AIPA ke-46 di Pusat Dagangan Dunia hari ini.

Alice berkata, kemajuan kepimpinan wanita bukan hanya bergantung kepada golongan itu semata-mata, sebaliknya merupakan tanggungjawab bersama kerajaan, parlimen dan masyarakat untuk membina masa handapan serantau yang lebih inklusif.

Katanya, peranan WAIPA sejak penubuhannya terbukti menjadi platform penting dalam memajukan agenda kepimpinan wanita menerusi perkongsian pengalaman, membina solidariti dan mendorong reformasi di seluruh ASEAN.

“Kemajuan kepimpinan wanita bukanlah tugas wanita semata-mata. Ia adalah tanggungjawab bersama kerajaan, parlimen dan masyarakat.

“Dalam hal ini, AIPA dan WAIPA menyediakan platform penting untuk berkongsi pengalaman, membina solidariti serta mempromosikan reformasi yang memperkasakan Ahli Parlimen wanita di seluruh rantau ini,” katanya.

Menurutnya, era digital menuntut usaha menutup jurang gender agar tiada golongan yang tercicir, manakala peralihan menuju kelestarian pula menjadikan kepimpinan wanita sebagai elemen utama dalam mencorakkan dasar mampan.

Katanya, perspektif wanita lazimnya menekankan daya tahan komuniti, tanggungjawab merentas generasi serta nilai inklusif yang boleh mengukuhkan tadbir urus dalam menangani perubahan iklim dan pembangunan mampan.

“Marilah kita meneroka strategi praktikal bagi meningkatkan penyertaan wanita daripada pembangunan kepimpinan, penggubalan undang-undang yang responsif gender hinggalah kepada kerjasama serantau yang menghubungkan agenda digital dan kelestarian.

“Dengan memperkasa pemimpin wanita, kita bukan sahaja mengangkat separuh daripada masyarakat, malah turut mencipta demokrasi yang lebih kukuh, komuniti lebih berdaya tahan serta masa hadapan yang lebih cerah untuk semua,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×