Parlimen perlu perkukuh undang-undang kesaksamaan gender

Parlimen perlu perkukuh undang-undang kesaksamaan gender

Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN ke-46 (AIPA GA) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Parlimen di setiap negara ASEAN perlu memperkukuh peranan bagi memastikan kesaksamaan gender terjamin dengan cara meluluskan undang-undang yang mampu memperkasa wanita di semua peringkat.

Presiden Perhimpunan Kebangsaan Kemboja, Samdech Maha Rathsapheathika Thipadei Khuon Sudary berkata, usaha tersebut amat penting untuk menjadikan ASEAN sebagai rantau yang benar-benar inklusif dan mampan.

Katanya, penglibatan wanita tidak boleh dipandang ringan, sebaliknya mesti diperluas merentas semua sektor termasuk ekonomi digital dan ekonomi hijau.

“Ahli Parlimen bukan sekadar menggubal undang-undang, mereka juga menetapkan objektif serta mewakili kepelbagaian komuniti. Kedudukan ini memberi mereka kuasa untuk memacu keterangkuman,” katanya ketika berucap pada Forum Kepimpinan Politik Wanita WAIPA ke-2 di sini, hari ini.

Katanya, undang-undang yang bersifat inklusif boleh mencegah ketidaksamarataan, memperkukuh dasar ekonomi dan memastikan penyiasatan bebas dijalankan sekiranya perlu.

“Mekanisme seperti kuota tetap dan proses yang adil merupakan langkah penting ke arah tadbir urus yang lebih seimbang dari segi gender.

“Parlimen berorientasikan gender, yang mencerminkan tuntutan masyarakat moden, akan lebih berkesan dalam menangani cabaran semasa,” jelasnya.

Menurut Samdech, pembudayaan amalan kerja yang inklusif serta responsif gender dalam parlimen turut memainkan peranan besar dalam memastikan wanita mendapat peluang sama rata.

“Tadbir urus yang seimbang bukan sahaja memperkukuh kedudukan wanita, malah memberi jaminan bahawa dasar awam dapat diagihkan secara adil kepada semua lapisan masyarakat.

“Penglibatan wanita secara bermakna dalam proses membuat keputusan adalah kunci membina ASEAN yang berdaya tahan, inklusif dan mampan,” katanya.

Forum itu, katanya, harus dijadikan landasan untuk memperkukuh komitmen bersama ke arah melahirkan kepimpinan yang lebih responsif terhadap isu gender di rantau ini. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN