KUALA LUMPUR: Kepimpinan wanita kini dilihat sebagai kunci kepada tadbir urus yang berkesan dan bersedia menghadapi cabaran masa depan ASEAN.
Presiden Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN ke-46 (AIPA GA) 2025, Tan Sri Datuk Dr. Johari Abdul berkata, penglibatan wanita dalam politik dan tadbir urus tidak boleh dipandang remeh supaya pentadbiran kekal inklusif, berdaya tahan dan berwawasan.
Katanya, golongan wanita mesti dilibatkan sepenuhnya dalam menentukan hala tuju dan keputusan berkaitan transformasi digital serta usaha kelestarian.
“Masa depan tadbir urus ASEAN kini bergantung kepada sejauh mana wanita diberi kuasa untuk memimpin terutama dalam menghadapi era peralihan digital dan kelestarian.
“Kepimpinan wanita memainkan peranan penting dalam memperkukuh suara mereka di seluruh parlimen ASEAN. Wanita bukan sekadar peserta, tetapi pemimpin yang membawa daya tahan, inovasi dan inklusiviti kepada tadbir urus ASEAN,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Forum Kepimpinan Politik Wanita WAIPA ke-2 di Pusat Dagangan Dunia hari ini.
Johari berkata, platform seperti Parlimen Belia berfungsi sebagai medan latihan untuk mengasah kemahiran golongan muda mempelajari asas demokrasi, prosedur parlimen dan prinsip perkhidmatan awam.
“Parlimen Belia membolehkan belia lelaki dan wanita mengasah kemahiran kepimpinan, pemikiran kritis serta menghargai dialog dan pembinaan konsensus.
“Bagi wanita muda, ia membuka laluan untuk menembusi halangan, membina keyakinan dan membayangkan diri mereka sebagai ahli parlimen serta pemimpin masa depan,” katanya.
Menurut Johari, tugas membentuk pemimpin masa hadapan adalah tanggungjawab bersama antara parlimen, kerajaan dan masyarakat.
“Pemimpin kanan mesti menjadi contoh teladan, membuka peluang dan membimbing generasi seterusnya ke arah kehidupan awam yang bermakna. Kita perlu memastikan mereka diberi peluang sebenar untuk menyertai proses membuat keputusan,” katanya.
Presiden AIPA itu turut menyeru semua anggota AIPA untuk memperkukuh penglibatan wanita muda dalam dunia politik kerana ia bukan sahaja memperkukuh institusi semasa, malah menjamin daya tahan demokrasi jangka panjang ASEAN.
“Dengan memberi sokongan penuh kepada wanita dan belia, kita dapat memastikan masa depan ASEAN dibentuk oleh mereka yang inklusif dalam visi, inovatif dalam semangat dan berani dalam tindakan,” katanya. – UTUSAN









