ASEAN berdaya saing jika pendigitalan jadi teras utama

ASEAN berdaya saing jika pendigitalan jadi teras utama

JOHARI ABDUL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: ASEAN hanya akan kekal berdaya saing, bersatu padu dan berdaya tahan jika kelestarian, keterangkuman serta pendigitalan dijadikan teras utama strategi pertumbuhan rantau ini.

Presiden Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN ke-46 (AIPA GA) 2025, Tan Sri Johari Abdul berkata, kelestarian bukan lagi pilihan sampingan, sebaliknya mesti menjadi paksi pembangunan ekonomi.

Katanya, agenda tersebut perlu diberi perhatian serius memandangkan dunia kini berdepan cabaran perubahan iklim yang semakin mendesak, sekali gus menuntut ASEAN untuk lebih proaktif melaksanakan dasar mesra alam.

Menurutnya, keterangkuman juga perlu diterjemahkan dalam bentuk nyata, bukan sekadar slogan atau retorik politik semata-mata.

“Wanita, belia dan komuniti terpinggir perlu diberikan akses yang adil terhadap peluang ekonomi serta pembangunan agar manfaat pertumbuhan dikongsi secara saksama,” katanya ketika merasmikan Forum dan Pameran Now and Future 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.

Forum itu dianjurkan bersempena Perhimpunan Agung ASEAN Inter-Parliamentary Assembly (AIPA) ke-46 yang menghimpunkan pemimpin parlimen, wakil kerajaan, korporat serta agensi pembangunan dari seluruh rantau ini.

Johari yang juga Yang Dipertua Dewan Rakyat berkata, pendigitalan pula tidak boleh hanya tertumpu di hab teknologi besar, sebaliknya mesti diperluas ke seluruh pelosok rantau bagi mengelakkan tercetusnya jurang baharu.

“Jika ASEAN mahu terus relevan dalam persaingan global, transformasi digital mestilah merangkumi setiap lapisan masyarakat tanpa meninggalkan mana-mana pihak,” jelasnya.

Menurut Johari, forum berkenaan berfungsi sebagai wadah untuk menterjemahkan aspirasi kepada tindakan melalui dialog terus antara penggubal dasar dengan pemain industri.

“Matlamatnya ialah membina kepercayaan yang kukuh antara mereka yang menggubal peraturan dengan pihak yang menggerakkan ekonomi, supaya hala tuju ASEAN lebih tersusun dan inklusif,” katanya.

Tahun ini, Malaysia menggalas tanggungjawab berganda sebagai Pengerusi ASEAN di peringkat eksekutif dan Presiden AIPA di peringkat legislatif, sekali gus meletakkan negara di tengah-tengah usaha membentuk hala tuju rantau pada masa depan. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN