KUALA LUMPUR: Timor-Leste menyatakan kesediaannya untuk menggalas tanggungjawab sebagai ahli penuh ASEAN pada Oktober ini dengan menegaskan komitmen untuk menyumbang kepada keamanan, kestabilan dan pembangunan serantau.
Ahli Parlimen Timor-Leste, Maria Fernanda Lay berkata, pihaknya telah menubuhkan jawatankuasa khas di Parlimen Kebangsaan bagi memantau proses penyertaan dan memastikan semua prosedur serta keperluan untuk menjadi negara anggota ASEAN dilaksanakan dengan penuh dedikasi.
Katanya, ia menggambarkan bahawa penyertaan Timor-Leste bukan sekadar inisiatif politik sesetengah pihak, sebaliknya merupakan agenda nasional yang mendapat sokongan majoriti besar ahli Parlimen negara itu.
“Setiap langkah penyertaan dipantau dengan teliti dan setiap syarat dipenuhi dengan penuh komitmen. Kami yakin kesediaan kami adalah tepat dan menyeluruh.
“Walaupun tidak semua pihak mencapai konsensus sepenuhnya, sebahagian besar kekuatan politik bersatu di sebalik visi ini kerana memahami bahawa objektif serantau seperti ASEAN mengatasi perbezaan politik domestik,” katanya semasa sesi plenari sempena Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Maria berkata, Timor-Leste bersedia menyumbang pengalaman negara dalam membina keamanan dan kestabilan, selain berkongsi pemahaman terhadap cabaran masyarakat dalam proses peralihan.
Katanya, negara itu turut berhasrat menawarkan sumber semula jadi dan tenaga belia sebagai aset strategik untuk menyokong pembangunan inklusif dan lestari di seluruh ASEAN.
“Kami bersedia untuk berperanan aktif dalam setiap inisiatif ASEAN. Kami juga yakin penyertaan Timor-Leste akan memperkukuh integrasi serantau dan memberi manfaat kepada semua rakyat di negara anggota ASEAN,” katanya. – UTUSAN










