PETALING JAYA: Hong Leong Bank Bhd (HLB) mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju perbankan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) negara apabila diiktiraf sebagai Bank PKS Terbaik di Malaysia pada Anugerah Kecemerlangan Euromoney 2025, kali kedua berturut-turut.
Pengiktirafan itu melengkapkan tahun yang cemerlang buat HLB selepas turut menerima anugerah sama daripada The Asian Banker dan Asian Banking & Finance tahun ini, sekali gus menyerlahkan kepimpinan pasaran dan kecemerlangan bank itu dalam segmen PKS di tiga platform industri terkemuka.
Menurut HLB, asas pelanggan PKS bank itu meningkat 18 peratus tahun ke tahun kepada lebih 320,000 pada 2024, merangkumi pelanggan pinjaman dan bukan pinjaman.
Peningkatan ini disokong penyediaan penyelesaian pembiayaan inovatif, termasuk meluluskan lebih RM280 juta kepada lebih 360 PKS melalui Skim Jaminan Kerajaan Madani 1.0 (GGSM 1.0) pada 2024, dengan pelaksanaan GGSM 2.0 akan diteruskan pada 2025 dan seterusnya.
HLB juga memperkenalkan proses pendaftaran akaun perniagaan secara digital sepenuhnya, termasuk bagi pemilik tunggal, selain menawarkan akaun perniagaan dan mata wang asing yang lebih menyeluruh kepada PKS.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan HLB, Kevin Lam berkata, matlamat utama bank itu adalah memperkasa pelanggan untuk mengembangkan kekayaan mereka, sejajar dengan peranan PKS sebagai tulang belakang ekonomi negara.
“Komitmen kami terhadap komuniti PKS melangkaui perkhidmatan perbankan tradisional. Kami mahu menjadi rakan strategik yang menambah nilai, bukan sekadar penyedia perkhidmatan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, melalui gabungan alat digital inovatif dan khidmat nasihat pakar, HLB membantu pelanggan PKS menavigasi landskap ekonomi global yang sentiasa berubah, termasuk trend digital yang pesat.
Katanya, pengiktirafan yang diterima menjadi bukti kukuh kepercayaan serta hubungan erat dengan pelanggan PKS, sekali gus mempertegaskan komitmen bank itu mencapai matlamat menjadi bank terbaik di Malaysia.
“Keunggulan HLB dalam perbankan PKS turut dipacu kepimpinan digitalnya. Bank itu menjadi yang pertama di Malaysia memperkenalkan proses eKYC (pengaktifan identiti elektronik) sepenuhnya bagi pemilik tunggal, yang boleh diselesaikan dalam masa kurang 10 minit.
“Antara penambahbaikan lain termasuk pendaftaran rakan kongsi perniagaan berasaskan tablet, pendaftaran digital bagi akaun mata wang asing, integrasi Weixin Pay serta penambahan pasukan khidmat tunai dan pertukaran asing PKS dan pusat PKS di peringkat serantau,” katanya.
Bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025, HLB mencatat pertumbuhan pinjaman kepada perusahaan domestik sebanyak 7.5 peratus tahun ke tahun, mencecah lebih RM70 bilion.
Pinjaman dan pembiayaan kepada PKS pula berkembang 8.1 peratus kepada lebih RM40 bilion, manakala portfolio perbankan komuniti PKS meningkat 10.4 peratus tahun ke tahun. – UTUSAN










