Banjir lumpur: MBSP minta pemaju henti projek serta-merta

Banjir lumpur: MBSP minta pemaju henti projek serta-merta

TANGKAP layar yang diambil daripada satu rakaman video yang tular menunjukkan dua buah kenderaan seakan terperangkap dalam insiden banjir lumpur di Taman Guar Perahu, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.-GAMBAR/MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) telah mengeluarkan Notis Berhenti Kerja kepada sebuah syarikat pemaju projek pembangunan di Taman Guar Perahu di sini susulan insiden banjir lumpur yang berlaku di kawasan itu, semalam.

Jurucakap MBSP berkata, hal ini demikian kerana, syarikat pemaju tersebut didapati telah melanggar syarat yang digariskan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 serta Undang-Undang Kecil Kerja Tanah (Majlis Perbandaran Seberang Perai) 1992.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan tapak mendapati, pihak pemaju telah gagal mematuhi syarat kelulusan pelan kerja tanah seperti telah menyebabkan limpahan air lumpur ke lot-lot bersebelahan di Kawasan taman perumahan berkenaan dan tidak menyediakan kolam mendapan yang berfungsi dengan sempurna.

Selain itu, katanya, pemaju juga gagal untuk menyediakan parit tanah sementara dan tidak dapat menyediakan ban pengadang di sepanjang sempadan taman berjiran di kawasan terbabit.

“Sehubungan itu, MBSP telah mengarahkan pihak pemaju supaya memberhentikan serta-merta semua kerja tanah di tapak pembangunan dan mengemukakan pelan mitigasi kerja tanah terkini bagi kelulusan MBSP termasuk cadangan pembesaran kolam mendapan dan pembinaan parit tanah.

“Pada masa yang sama, mereka (pemaju) juga perlu melaksanakan kerja pembersihan segera ke atas parit, jalan serta kediaman yang terjejas, memasang ‘hoarding’ (penimbunan) di kawasan yang belum dilengkapi dengan tembok pengadang serta melaksanakan kerja-kerja mitigasi yang dicadangkan serta-merta,” katanya di sini, hari ini.

Dalam insiden yang berlaku malam tadi, lebih 50 buah rumah di Taman Guar Perahu dan kawasan sekitarnya terjejas selepas dinaiki air sehingga mencecah paras 0.5 meter akibat hujan lebat dan banjir kilat.

Lebih malang, limpahan air tersebut turut bercampur dengan lumpur yang dipercayai berpunca daripada projek pembangunan yang sedang berjalan di kawasan terbabit.

Difahamkan, beberapa keping gambar dan rakaman video mengenai kejadian banjir lumpur yang turut menjejaskan beberapa kenderaan itu juga tular di media sosial sejak tengah malam tadi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×