SHAH ALAM: Sebotol kecil air minuman ibarat segunung emas.
Demikian perumpamaan yang dapat digambarkan oleh ribuan mangsa ribut tropika di Aceh dan Sumatera Utara, Indonesia yang kini masih bergelut untuk kembali pulih selepas bencana banjir serta tanah runtuh.
Malah, rata-rata penduduk Wilayah Aceh Utara, Bener Meriah, Aceh Tengah, Pidie Jaya dan Bireuen dilaporkan masih be
rdepan masalah terputus bekalan air bersih, elektrik serta sumber makanan.
Mereka masih mengharap bantuan dapat disalurkan terutama perkampungan di pedalaman apabila jalan yang menghubungkan kawasan tersebut terputus atau ditimbus lumpur.
Lebih buruk, penduduk yang sebelum ini bergantung kepada telaga sebagai sumber air juga terputus bekalan apabila perigi-perigi tersebut runtuh atau ditimbus lumpur.
Presiden organisasi bukan kerajaan (NGO), Al-Ain International Malaysia (AIM), Ummu Jannah Muhammad berkata, ketika menjalankan misi bantuan kemanusiaan selama enam hari di sana sejak 13 Disember lalu, memaklumkan situasi yang berlaku lebih buruk berbanding musibah Tsunami pada 2004.
Menurutnya, Aceh Tengah adalah wilayah paling teruk terkesan kerana kedudukannya berdekatan pergunungan paling tinggi dan berhampiran sungai utama di Pidie Jaya seperti di Kampung Seunong.
“Apabila bantuan datang, mereka meluru menghampiri kenderaan kami dan barang yang paling mereka mahukan adalah air botol mineral. Sehingga ada yang memasukkan tangan menerusi tingkap untuk mencapai botol berkenaan.
“Keadaan begitu mendesak kerana saya sendiri dapat menyaksikan penduduk menapis air sisa banjir atau hujan yang keruh berlumpur dan pasir itu berkali-kali sehingga ia kelihatan jernih kemudian baru dimasak untuk dijadikan minuman,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, Ketua Dinas Pertanian dan Perkebunan Aceh, Cut Huzaimah dilaporkan memberitahu, kejadian banjir dan tanah runtuh yang melanda di beberapa wilayah di Sumatera turut menjejaskan 89,582 hektar sawah padi.
Tragedi yang melanda pada hujung bulan lalu menyebabkan angka kematian mencecah 1,059 orang sementara hampir 200 dilaporkan hilang di tiga wilayah utama.
Jelas Ummu Jannah, sehingga kini rata-rata penduduk terutama yang tinggal di pusat koordinasi sementara (Posko) akibat kediaman musnah mendakwa masih tidak dapat meneka nasib mereka di masa hadapan.
“Memang mereka tertanya-tanya apakah hala tuju kehidupan mereka selepas ini,” katanya. – UTUSAN










