GUA MUSANG: Seramai 54 penduduk Orang Asli di Kampung Brooke Lama dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Brooke di sini sejak malam tadi selepas kawasan penempatan mereka berisiko dilanda banjir lumpur.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima laporan daripada penduduk berkenaan masalah takungan air semula jadi dan pembetung yang berlaku berhampiran Kampung Brooke Lama.
Katanya, sehubungan itu, penduduk telah mula berpindah ke PPS kira-kira pukul 10 malam tadi.
“Pemindahan itu dijalankan sebagai persediaan awal kejadian tanah runtuh dan banjir lumpur. Penduduk perlu tinggal di PPS kerana ketika ini kerja-kerja pembersihan pembetung sedang giat dilakukan.
“Tempoh PPS dibuka bergantung kepada keadaan cuaca semasa untuk pihak terlibat melaksanakan kerja membersihkan pembentung yang tersumbat,” katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi pembetung tersumbat dekat Kampung Brooke Lama di sini, hari ini.
Choon Foo memberitahu, pihak Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) dan Cawangan Kejuruteraan Cerun Jabatan Kerja Raya (JKR) akan membuat penilaian tanah di kawasan tersebut selepas ini.
Selain itu, pihaknya masih lagi menunggu keputusan teknikal daripada JMG dan pakar cerun.
Sementara itu, Penghulu Kampung Brooke Lama, Rian Bujang berkata, sebelum ini, sudah dua kali pihaknya membuat aduan kepada pihak berkuasa masalah pembetung tersumbat sejak empat bulan lalu dipercayai berpunca daripada kesan pembukaan tanah di kawasan hulu sungai.
“Saya berharap pihak berwajib termasuk pemaju dapat membantu menyelesaikan masalah dengan membersihkan pembetung air yang tersumbat supaya tidak memberi risiko keselamatan kepada penduduk.
“Penduduk ketika ini takut untuk tinggal di kampung dan mereka berpindah di PPS sehingga arahan seterusnya dikeluarkan pihak berkuasa,” katanya. – UTUSAN










