Jangan buat spekulasi penangkapan mudir sekolah pondok

Jangan buat spekulasi penangkapan mudir sekolah pondok

SEORANG mudir pondok ditahan reman selama lima hari bagi membantu siasatan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar tahfiz di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu. - UTUSAN / NURSYASYA NADHIRAH ZABIDI SEORANG mudir pondok ditahan reman selama lima hari bagi membantu siasatan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar tahfiz di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini. - UTUSAN / NURSYASYA NADHIRAH ZABIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semua pihak diminta tidak membuat sebarang spekulasi atau menjatuhkan hukuman berhubung kes penangkapan seorang mudir pondok di Kelantan yang disiasat berhubung tuduhan seksual terhadap pelajar.

Pengerusi Eksekutif Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM), Datuk Dr. Mashitah Ibrahim berkata, pihaknya menghormati proses undang-undang dan bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta mahkamah.

“Oleh kerana kes ini sedang dikendalikan pihak polis dan akan disebut di mahkamah pada November depan, YPPM berpendirian eloklah semua pihak bersabar, tidak membuat spekulasi atau menghukum sebelum keputusan hakim.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kes ini adalah satu ujian, justeru lebih baik kita bertabayyun dan menunggu keputusan perbicaraan. YPPM turut berharap pihak tertuduh, mangsa serta keluarga masing-masing tabah menghadapi dugaan yang amat mencabar ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mashitah berkata, berita penangkapan tersebut mengejutkan kerana melibatkan seorang tokoh pondok terkenal di negeri itu selain implikasi hukuman sangat berat sekiranya terbukti bersalah.

Katanya, YPPM memandang serius perkara itu kerana ia bukan sahaja menjejaskan imej agamawan, malah boleh menggugat integriti institusi pondok serta soal keselamatan dan perlindungan pelajar.

“YPPM berharap kes berkenaan tidak menjejaskan keyakinan awam terhadap institusi pondok yang selama ini mempunyai sejarah panjang dan unggul dalam membangunkan pendidikan agama serta intelektual Islam.

“Institusi pondok di Malaysia terbukti banyak berjasa dalam melahirkan tokoh ilmu, menyumbang kepada perjuangan kemerdekaan negara serta membina kekuatan pendidikan agama masyarakat. Warisan ini mesti terus dipelihara dan diyakini,” katanya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan seorang mudir sebuah pondok di Kelantan ditahan sekali lagi bagi membantu siasatan kes amang seksual fizikal membabitkan seorang pelajar tahfiz di Kuala Nerus, tujuh bulan lalu.

Lelaki berusia 46 tahun itu yang dikenali dengan panggilan ‘Abuya’ ditahan di perkarangan sebuah madrasah di Tumpat, kira-kira jam 7.30 malam baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata siasatan awal mengesyaki suspek melakukan perbuatan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berusia 14 tahun.

Beliau berkata ia dipercayai berlaku di sebuah pondok di Kuala Nerus, kira-kira pukul 9 malam, Februari lalu. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini