Malam Malaysia Legenda ajak kenang jasa pejuang terdahulu

Malam Malaysia Legenda 2025 ajak peserta kenang jasa pejuang terdahulu

Malaysia Legenda
PENGUNJUNG dan peniaga mengenakan busana klasik bergambar beramai-ramai pada Malam Malaysia Legenda 2025 anjuran YBAPTM di Hulu Kelang, Selangor. - UTUSAN / AFIERA KHAIRULAZMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU KELANG: Malam Malaysia Legenda 2025 anjuran Yayasan Bekas Anggota Perisikan Tentera Malaysia (YBAPTM) sempena Sambutan Hari Malaysia tahun ini dengan mengenakan busana klasik sebagai simbolik peringatan kepada pengorbanan pejuang-pejuang terdahulu.

Peserta, Mohd. Khairy Mohammad Yusopp, 40, atau lebih dikenali sebagai Hery Sejagat, berkata, penganjuran di lokasi berdekatan sungai tersebut memberi kelainan berbanding sambutan Hari Malaysia yang lazimnya diadakan di dewan atau majlis rasmi.

“Dengan suasana seperti ini, ia lebih mendekatkan kita kepada alam dan membuatkan kita lebih menghargai persekitaran hutan. Saya rasa konsep ini sangat sesuai dengan tema pakaian klasik era kolonial dan penjajahan Jepun dahulu.

“Acara seperti itu mengembalikan nostalgia perjuangan kemerdekaan selain memberi peluang generasi muda menghayati pengorbanan pejuang terdahulu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Malam Malaysia Lagenda 2025 menyaksikan kehadiran pengunjung dari bandar dan luar bandar pelbagai aktiviti menarik termasuk persembahan tarian tradisional, pameran busana legenda dan gerai jualan makanan.

Program komuniti itu turut menyediakan tapak niaga untuk asnaf, ibu tunggal dan anak yatim selain membuka peluang pekerjaan sementara kepada anak-anak muda, sekali gus membantu mereka menjana pendapatan sempena sambutan Hari Malaysia.

Pengerusi YBAPTM, Datuk Seri Yahaya Saad berkata, program tersebut bukan sahaja membentuk kesedaran dan pemahaman tentang sejarah perjuangan pejuang terdahulu, malah turut memberi peluang ekonomi kepada golongan asnaf, ibu tunggal dan anak yatim.

“Malam Malaysia Lagenda 2025 ini adalah cetusan idea Saudara Ghoffar Md. Noor atau lebih dikenali sebagai Opat yang mengusulkan program itu kepada pihak yayasan.

“Program itu menjadi kemuncak kepada sambutan Hari Malaysia kerana kita mengimbau semula cara berpakaian tradisional dan menonjolkan semangat patriotik,” tambahnya.

Katanya lagi, kolaborasi bersama beberapa anak syarikat termasuk penyedia minuman tradisional membantu menjana dana yang akan disalurkan untuk kebajikan golongan kurang berkemampuan.

Bagi, peniaga muda, Siti Khadijah Saidon, 18, berkata sambutan pengunjung amat menggalakkan dan memberi peluang kepadanya menjual pencuci mulut tradisional seperti sagu gula Melaka dan dadih buatannya sendiri.

“Acara seperti ini menarik ramai pengunjung termasuk kaum Cina dan India. Ia peluang baik untuk kami memperkenalkan juadah tradisional kepada masyarakat,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×