Pengakap Malaysia terus relevan, melangkah kecemerlangan global

Pengakap Malaysia terus relevan, melangkah kecemerlangan global

PPM menyerahkan sepenuhnya kepada SPRM untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERUSIA 117 tahun pada 2025, Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) kekal sebagai sebuah badan sukarela beruniform yang berpengaruh dan relevan di negara kita.

Kejayaan panjang ini membuktikan pengakap bukan sekadar kegiatan kokurikulum sekolah tetapi wadah pembangunan sahsiah, kepimpinan, disiplin serta khidmat bakti kepada masyarakat.

Selaras dengan cogan kata ‘Pengakap Menstransformasi Generasi’, pelbagai langkah strategik dirangka untuk memperkukuh organisasi ini.

Antara yang menarik perhatian ialah gagasan baharu Ketua Pengakap Negara, Mejar Jeneral Datuk Prof. Dr. Mohd Zin Bidin mengetengahkan tema kerja ‘Dari Baik kepada Hebat’; ‘Apa yang Menjadikan Organisasi Hebat’ yang diinspirasikan daripada buku terkenal Jim Collins. Tema ini menjadi kerangka transformasi PPM bagi tempoh 2025-2028.

Sebagai sebuah organisasi bukan kerajaan dengan keanggotaan kira-kira 600,000 orang ahli dan pemimpin, cabaran yang digalas PPM bukan kecil. Namun dengan semangat kebersamaan, Pengakap Malaysia mampu bergerak maju.

Sejak kebelakangan ini, PPM semakin giat menganjurkan program berkualiti bersama agensi kerajaan, swasta dan komuniti. Kerjasama ini, sama ada di peringkat kebangsaan atau antarabangsa, berjaya memperkukuh peranan pengakap dalam masyarakat moden.

Program berbentuk kepimpinan, kemahiran insaniah, kaunseling, akademik, ujian lencana dan latihan kepengakapan dijalankan aktif di seluruh negara.

Antara pencapaian antarabangsa termasuk Persidangan Antarabangsa mengenai Pendidikan Non-Formal (ICoNFE2024), Persatuan Pengakap ASEAN untuk Kerjasama Serantau (ASARC 2023), Jambori Keamanan IUMS 2025, Jamboree Nusantara Antarabangsa 2025 dan Forum Kepimpinan Belia Pengakap Antarabangsa 2025.

Di peringkat nasional, aktiviti seperti Kempori Pengakap Pendidikan Khas 2024, Jambori Pengakap Asli ke-3, Agoonoree Kuala Lumpur Pertama 2025 dan Seaboree Kebangsaan ke-6, 2025 berjaya melibatkan ribuan ahli.

Selain itu, Pengakap Malaysia turut hadir di pentas antarabangsa seperti Jambori Pengakap Dunia 2023 di Korea Selatan, Bengkel Pengumpulan Dana Rantau Asia-Pasifik 2025 di Taiwan serta Seminar mengenai Masa Depan Pendidikan Non-Formal 2024 di Nepal.

Penglibatan ini mengharumkan nama PPM di peringkat dunia. Lebih membanggakan, pemimpin Malaysia kini diberi kepercayaan dalam menganggotai jawatankuasa Pengakap Rantau Asia Pasifik (APR) beribu pejabat di Filipina, termasuk Ketua Pengakap Negara sendiri. Ini menandakan pengiktirafan antarabangsa terhadap keupayaan Pengakap Malaysia.

Sejarah turut membuktikan sumbangan pengakap dalam melahirkan pemimpin negara. Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, merupakan bekas ahli pengakap. Maka, tidak keterlaluan jika dikatakan PPM menjadi wadah membina kepimpinan bangsa lebih satu abad lamanya.

TUJUH CABARAN TRANSFORMASI
Kerangka transformasi yang digariskan Ketua Pengakap Negara mengandungi tujuh cabaran utama:
 Kepimpinan tahap 5: Pemimpin pengakap mesti meletakkan kepentingan organisasi melebihi diri. Masih terdapat pemimpin di peringkat negeri atau daerah yang terikat dengan stail dan budaya lama. Untuk mara ke hadapan, mereka perlu berani berubah, berfikiran terbuka, dan menjadi model ikutan ahli.
 Utamakan orang yang tepat dalam pasukan: Pelantikan pemimpin perlu berdasarkan kelayakan dan jiwa sukarela, bukan kerana pengaruh atau hubungan peribadi. Pemimpin baharu wajar dibekalkan ilmu dan kemahiran, termasuk penguasaan teknologi digital agar mampu mencapai matlamat dan nilai PPM.
 Menghadapi fakta ‘kejam’: Budaya ‘bos sentiasa betul’ tidak wajar diteruskan. PPM perlu meraikan kepelbagaian pandangan secara demokratik, menolak sikap mempertahankan ego dan bersedia menerima kelemahan untuk memperbaikinya.
 Konsep landak: Pemimpin sukarela yang sejati memiliki nilai penyayang, sabar dan ikhlas membantu orang lain. Mereka perlu menjiwai 10 Undang-Undang Pengakap, menegakkan disiplin dan mematuhi undang-undang demi kecemerlangan organisasi.
 Budaya disiplin: Seperti ditegaskan Baden Powell, disiplin mesti lahir dari dalam diri. Disiplin tinggi melahirkan pemimpin telus, tepat waktu, berintegriti dan efisien dalam pengurusan. Inilah teras kepimpinan yang berfokus dan konsisten.
 Pemacu teknologi: Era digital menuntut pemimpin PPM memanfaatkan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), platform hibrid dan aplikasi maya. Latihan kepimpinan, ujian lencana, seminar serta program boleh dijalankan lebih interaktif melalui Zoom, Google Meet atau Teams. Persoalannya, sejauh mana pemimpin sedia menguasai teknologi ini?
 Roda tenaga momentum: Kejayaan besar tidak hadir sekelip mata. Ia memerlukan momentum usaha yang konsisten dan kolektif untuk menuju ke arah matlamat yang betul. Melalui kesinambungan transformasi, PPM diyakini mampu melangkah daripada ‘baik’ menjadi ‘hebat’.

WAJAH BAHARU

Ketua Pengakap Negara menekankan transformasi melalui Pelan Strategik PPM 2022–2025 dan 2025–2028. Usaha beliau meliputi pentadbiran telus, integriti tinggi, penjenamaan semula uniform pengakap yang lebih versatil serta penerapan nilai progresif dalam kalangan ahli.

Lebih penting, PPM kini berusaha mendapatkan pengiktirafan antarabangsa daripada Pertubuhan Pengakap Sedunia (WOSM) melalui instrumen penilaian Alat Penilaian Sokongan Global (GSAT). Pengiktirafan ini menjadi kayu ukur sejauh mana PPM mampu berdiri sama tinggi dengan gerakan pengakap dunia.

Melihat perjalanan panjang lebih satu abad, jelas PPM bukan sekadar organisasi sukarela tetapi institusi pembangunan modal insan yang melahirkan ramai pemimpin negara.

Dengan kepimpinan yang berwawasan, sokongan ahli di peringkat akar umbi, serta keterbukaan terhadap teknologi dan perubahan budaya organisasi, PPM berada di landasan tepat untuk bergerak dari ‘baik’ kepada ‘hebat’.

Transformasi PPM 2025–2028 bukan angan-angan kosong. Jika kerjasama padu antara kepimpinan tertinggi, negeri dan daerah dapat digembleng, tidak mustahil kita akan melihat pengakap Malaysia berdiri sebaris dengan pengakap luar negara yang jauh lebih hebat.

 

PROFESOR Madya Dr. Abdul Rashid Mohamad ialah bekas Timbalan Dekan Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan Universiti Sains Malaysia (USM), Felo Majlis Profesor Negara, Kaunselor Berdaftar dan kini Pengarah Akademi Pengakap Negara.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×