Hidupkan semangat Pendekar Madani bermula di bangku sekolah

Hidupkan semangat Pendekar Madani bermula di bangku sekolah

ANWAR Ibrahim (tengah) beramah mesra dengan orang ramai dan para pesilat ketika hadir menyertai Himpunan Pendekar Madani di Politeknik Seberang Perai (PSP), Pulau Pinang hari ini. - UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Perdana Menteri mahu semangat Pendekar Madani dihidupkan serta didukung oleh generasi muda bermula di bangku sekolah.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau mahu kegiatan tersebut ditubuhkan di sekolah-sekolah, institusi pengajian tinggi (IPT) termasuk politeknik serta institut pendidikan guru (IPG).

“Kita menghidupkan semangat yang sudah berjalan dan saya percaya, Menteri Pendidikan (Fadhlina Sidek) akan gerakkan kegiatan ini (di peringkat sekolah).

“Pendekar Madani, masing-masing kalau ikut persatuan (seni silat) tak ada masalah bagi saya. Tetapi, kena ada satu saluran utama.

“Kita adalah satu. Satu bangsa, satu budaya dan seni mempertahankan diri ini bukan untuk bermegah. Bukan untuk angkuh. Bukan juga untuk sombong. Tetapi, ia untuk melatih anak-anak bangsa kita dan kita akan pastikan semua sekolah-sekolah kita mendukung semangat Pendekar Madani ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Himpunan Pendekar Madani yang dihadiri oleh kira-kira 10,000 pesilat dari seluruh negara di Politeknik Seberang Perai (PSP) di sini, hari ini.

Pada majlis sama, Anwar turut ditabalkan sebagai Imam Khalifah Agong ‘Sri Tri Buana Simanjakini Gangga Chula Sakti’ oleh Datuk Dr. Raja Abdul Majid Raja Mat Isa yang mewakili Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia.

Anwar turut meminta gerak kerja berhubung kegiatan Pendekar Madani disegerakan pada tahun ini.

Untuk tujuan itu, beliau meluluskan peruntukan RM2 juta sebagai permulaan bagi tujuan menggerak serta menyelaras aktiviti berkenaan kepada semua pertubuhan silat di negara ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×