ABIM sokong amaran keras Perdana Menteri bela Palestin, Qatar

ABIM sokong amaran keras Perdana Menteri bela Palestin, Qatar

AHMAD FAHMI MOHD. SAMSUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Serangan udara Israel ke atas Doha merupakan pencabulan jelas terhadap kedaulatan Qatar, pelanggaran undang-undang antarabangsa serta provokasi berbahaya yang mengancam kestabilan dan keamanan global.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd. Samsudin menyatakan sokongan penuh terhadap ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam membawa suara negara pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam di Doha, semalam.

“Tindakan ini bukti nyata Israel sedang menggerakkan agenda ‘Israel Raya’ bagi meluaskan pengaruh ketenteraan, mencabul kedaulatan negara serantau serta meruntuhkan segala usaha damai yang digerakkan masyarakat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, Perdana Menteri memberi amaran keras kepada Israel pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam di Doha, susulan serangan udara terbaharu rejim Zionis yang menyasarkan kepimpinan Hamas serta menambah penderitaan kemanusiaan di Gaza.

Anwar menegaskan, serangan rejim Zionis terhadap Qatar membuktikan kezaliman mereka tidak mengenal batas.

Ahmad Fahmi berkata, tragedi kemanusiaan di Gaza semakin parah apabila rejim Zionis secara terbuka menolak kewujudan Palestin dan penyelesaian dua negara, malah terus melakukan genosid, mengekalkan dasar aparteid serta menafikan hak rakyat Palestin.

“Kecaman melalui kenyataan pemimpin negara semata-mata tidak lagi memadai, sebaliknya masyarakat antarabangsa mesti berani mencontohi Malaysia dengan mengambil langkah konkrit termasuk memutuskan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan Israel.

“ABIM turut menggesa negara-negara Arab dan dunia Islam menarik balik segala bentuk normalisasi yang pernah dilakukan terhadap Israel kerana langkah itu hanya memberi legitimasi kepada kezaliman serta menguatkan lagi agenda Israel Raya,” katanya.

Ahmad Fahmi berkata, kerajaan wajar memberi bantuan sepenuhnya kepada misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang turut disertai rakyat Malaysia termasuk menubuhkan pasukan pemantauan dan sokongan krisis di Wisma Putra bagi memantau keselamatan peserta.

Katanya, pasukan itu juga perlu bersiap siaga memberi bantuan undang-undang sekiranya sukarelawan ditahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini