BEIJING: Sebuah zoo di timur China melarang pengunjung daripada menunjukkan video pendek kepada seekor cimpanzi kerana bimbang tindakan itu akan menjejaskan penglihatannya.
Ding Ding, seekor cimpanzi berusia dua tahun di Taman Hidupan Liar Shanghai mencuri hati ramai kerana gelagatnya yang mirip bayi manusia.
Klip tular menunjukkan ia duduk bersila sambil menghirup susu, bersembunyi malu di pelukan penjaga, malah mencabut bunga teratai untuk dimakan kelopak demi kelopak.
Baru-baru ini, tular dakwaan Ding Ding gemar menonton video pendek.
Dalam satu rakaman popular, seorang wanita memegang telefon pintar di kaca kandangnya sambil muzik dimainkan dan cimpanzi itu kelihatan menatap skrin dengan penuh tumpuan sambil menggaru mukanya seperti sedang berfikir.
Seorang lagi pengunjung mendakwa Ding Ding kelihatan tertarik khususnya dengan video lucu dan drama pendek, dipercayai bunyi serta visualnya memberi rangsangan yang kuat kepada haiwan tersebut.
Namun, pihak zoo dilaporkan sudah meletakkan notis di luar kandang Ding Ding yang melarang pengunjung menunjukkan telefon kepada primat itu.
Kakitangan zoo memberi amaran terlalu banyak masa di depan skrin boleh merosakkan penglihatan dan mencetuskan tekanan.
“Jika cimpanzi tidak dapat melihat dengan jelas dan gagal berkomunikasi dengan manusia, ia boleh menjadi cemas dan akhirnya menjejaskan kesihatan,” kata seorang pekerja zoo.
Penjaga Ding Ding turut menegaskan tiada penalti untuk pengunjung yang melanggar arahan itu, tetapi mengingatkan cimpanzi tidak boleh memakai cermin mata.
Larangan tersebut tular di media sosial China, dengan klip berkaitannya mencecah lebih 10 juta tontonan.
Seorang pengguna media sosial menasihati pengunjung zoo agar menghormati cara hidup semula jadi haiwan dan ada juga mencadangkan agar Ding Ding diberi lebih banyak mainan sebagai ganti.-AGENSI










