Perpaduan kita masih rapuh, tembok perkauman cabaran utama

Perpaduan kita masih rapuh, tembok perkauman cabaran utama

PASTINYA kita tidak mahu sejarah 13 Mei 1969 yang merupakan tragedi hitam menggoncang keharmonian kaum di negara ini berulang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERPADUAN nasional adalah nadi kepada kestabilan sosial, politik dan ekonomi sesebuah negara, terutamanya bagi negara seperti Malaysia yang mempunyai masyarakat majmuk.

Tanpa perpaduan yang kukuh, keharmonian hidup akan terjejas dan konflik antara kaum boleh tercetus. Malah, jika tidak ditangani dengan bijak, ketegangan kaum boleh mencetuskan ancaman terhadap keselamatan negara.

Isu perpaduan nasional bukan sekadar wacana akademik atau slogan politik. Ia adalah keperluan mendesak yang mesti diberi perhatian serius oleh kerajaan yang diberi mandat memimpin negara.

Sejarah menunjukkan perpaduan bukan sesuatu yang boleh dianggap remeh. Peristiwa 13 Mei 1969 contohnya, merupakan tragedi hitam yang menggoncang keharmonian kaum di negara ini.

Rusuhan kaum yang berlaku menjejaskan ekonomi, mengganggu kehidupan harian rakyat dan memaksa kerajaan menggantung sistem berparlimen buat sementara waktu.

Bagi memulihkan keadaan ketika itu, kerajaan membentuk Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) dan menubuhkan Majlis Muhibah Negara untuk memperbaiki hubungan antara kaum yang telah retak. Seterusnya, Jabatan Perpaduan Negara ditubuhkan pada 1 Julai 1969 di bawah Jabatan Perdana Menteri, menandakan komitmen serius kerajaan dalam usaha memperkukuh perpaduan nasional.

Langkah seterusnya yang amat penting ialah perisytiharan Rukun Negara pada 31 Ogos 1970 sebagai ideologi nasional. Rukun Negara bukan hanya satu deklarasi simbolik tetapi satu bentuk ‘kejuruteraan sosial’ untuk membina semula hubungan kaum, menstabilkan politik dan menjana pembangunan ekonomi yang lebih saksama.

Lima prinsip Rukun Negara iaitu Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang dan Kesopanan dan Kesusilaan adalah asas penting untuk membentuk rakyat Malaysia yang berjiwa nasional, berintegriti serta cinta kepada negara.

Melalui pemahaman dan penghayatan prinsip-prinsip ini, rakyat dapat diajar untuk memahami makna hidup bermasyarakat dan bernegara secara aman dan harmoni.

Selepas 13 Mei, kerajaan juga memperkenalkan pelbagai dasar kebangsaan seperti Dasar Ekonomi Baharu (DEB), Dasar Pendidikan Kebangsaan, Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Kesemuanya dirangka dengan matlamat utama untuk memperkukuhkan hubungan kaum sambil meningkatkan kesejahteraan rakyat dari pelbagai latar belakang.

Sebagai generasi yang melalui era pelaksanaan dasar-dasar ini, saya dapat melihat bagaimana pendekatan tersebut berjaya membina asas yang kukuh dalam hubungan kaum dan kestabilan politik.

Meskipun tidak sempurna dan mempunyai kelemahan, ia berjaya mencipta sebuah negara yang mampu berkembang pesat dalam pelbagai bidang tanpa mengorbankan perpaduan rakyat.

 

ISU PERKAUMAN KEMBALI MEMUNCAK

Malangnya, dalam satu dekad kebelakangan ini, isu-isu perkauman mula menular kembali dalam wacana awam, kadangkala lebih tajam dan terbuka berbanding sebelumnya. Mungkinkah ini berpunca daripada politik perkauman yang dimainkan segelintir ahli politik yang tidak bertanggungjawab? Atau mungkinkah ini kesan langsung daripada keterbukaan media sosial yang terlalu bebas hingga membolehkan unsur-unsur hasutan dan kebencian disebarkan tanpa kawalan?

Apa pun puncanya, kita perlu akui hubungan kaum di Malaysia kini semakin rapuh. Kita terlalu fokus pada hubungan fungsional dengan bergaul sekadar kerana urusan kerja, perniagaan atau persekitaran sosial harian tetapi gagal membina hubungan psikologi dan empati yang lebih mendalam.
Hubungan fungsional ini mudah retak jika tidak disokong oleh rasa saling memahami dan mempercayai antara satu sama lain.

Menurut tokoh pemikir Dr. Chandra Muzaffar, toleransi sahaja tidak mencukupi. Hubungan empatetik yang membina kesediaan untuk memahami keperluan, warisan dan sensitiviti kaum lain mesti dipupuk. Namun, hubungan seperti ini sukar dibentuk selagi setiap kaum hidup dalam tembok perkauman yang tebal dan ego tidak mahu menerima perbezaan.

Perpaduan sejati hanya akan tercapai apabila kita sanggup meruntuhkan tembok perkauman, menghapuskan prejudis dan bersedia untuk melihat diri sebagai satu bangsa Malaysia yang bersatu, bukan sebagai entiti berasingan yang hidup atas semangat toleransi semata-mata.

Kita juga perlu akui masyarakat majmuk seperti Malaysia mempunyai kumpulan etnik yang berbeza, masing-masing dengan bahasa, budaya dan agama sendiri. Namun, tidak bermakna kita tidak boleh menerima budaya induk yang lama menjadi teras negara ini—budaya Melayu-Islam sebagai warisan sosiobudaya utama yang perlu dihormati, tanpa rasa terancam atau dipertikai.

 

KONTRAK SOSIAL & DASAR KEBUDAYAAN NASIONAL

Konsep ‘kontrak sosial yang menjadi asas Perlembagaan perlu difahami secara matang. Ia bukan untuk meminggirkan mana-mana kaum tetapi sebagai bentuk kesepakatan demi kestabilan bersama.

Sebab itulah, Dasar Kebudayaan Kebangsaan meletakkan budaya Melayu-Islam sebagai asas kebudayaan nasional tetapi tetap mengiktiraf dan menghormati kebudayaan lain.

Sayangnya, selepas lebih enam dekad merdeka, kita masih bergelut untuk menyatukan identiti kebangsaan. Dasar-dasar yang sepatutnya menjadi teras pembinaan bangsa seperti semakin dipinggirkan.

Lebih menyedihkan apabila ada segelintir pihak termasuk mereka yang berada dalam kedudukan berkuasa, mula mencabar perkara-perkara asas Perlembagaan secara terbuka, sama ada secara tersurat atau tersirat.

Cabaran untuk mengekalkan perpaduan bukan semakin mudah, malah semakin mencabar. Kita berhadapan dengan situasi di mana sentimen perkauman dimainkan secara terbuka, baik oleh netizen biasa mahupun tokoh politik. Media sosial menjadi ruang tanpa sempadan untuk menyebar kebencian, fitnah dan provokasi antara kaum serta agama.

Dalam keadaan ini, usaha membina semula perpaduan perlu dilakukan dengan lebih berani, bijaksana dan menyeluruh. Pendidikan nilai, penghayatan Rukun Negara, penguatkuasaan undang-undang terhadap hasutan perkauman, serta dialog antara kaum dan agama harus dihidupkan semula secara konsisten.

Perpaduan nasional tidak akan berlaku dengan sendirinya dan ia tidak akan kekal jika hanya bergantung kepada retorik politik. Ia memerlukan usaha kolektif daripada pemimpin, rakyat, institusi, media dan sistem pendidikan.

Lebih daripada itu, ia memerlukan kejujuran, empati dan keberanian untuk mengakui kelemahan serta komited memperbaikinya.

Ingatlah, masyarakat majmuk yang bercampur tetapi tidak bersatu adalah bom jangka yang boleh meletup pada bila-bila masa.

Kita sudah ada sejarah yang mengajar kita, jangan ulangi kesilapan yang sama. Maka, perpaduan adalah warisan yang mesti dipelihara dan ditanamkan dalam jiwa setiap rakyat Malaysia.-UTUSAN

PENULIS ialah Penganalisis Sosiopolitik bebas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×