Pelabuhan Klang lonjak negara jadi hab maritim serantau

Pelabuhan Klang lonjak negara jadi hab maritim serantau

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEDUDUKAN Malaysia dalam industri perkapalan serantau terus menyerlah apabila Pelabuhan Klang buat pertama kali menembusi kelompok 10 pelabuhan kontena tersibuk dunia, menurut senarai Lloyd’s List Top 100 Ports 2025.

Selepas berada di tangga ke-13 pada 2022 dan ke-11 pada 2023, Pelabuhan Klang kini me­lonjak ke kedudukan ke-10, sekali gus mengatasi Hong Kong, perkembangan yang dilihat memperkukuh status Malaysia sebagai hab maritim utama rantau ini.

Kementerian Pengangkutan (MoT) dalam kenyataan berkata, pencapaian itu mencatat sejarah baharu sektor maritim negara dengan Pelabuhan Klang diiktiraf sebagai pelabuhan paling berdaya saing di Asia Tenggara.

Pengerusi Eksekutif Westports Holdings Bhd., Datuk Ruben Emir Gnanalingam Abdullah berkata, kedudukan itu membuktikan daya saing Malaysia semakin kukuh hasil peluasan infrastruktur serta strategi jangka panjang industri.

“Pengembangan terminal ba­haru CT10 hingga CT17 menggandakan kapasiti pengendalian kargo, selain memastikan pertumbuhan mampan. 

“Malaysia juga kekal sebagai negara paling kompetitif di rantau ini dari segi kos logistik, manakala Pelabuhan Klang diiktiraf paling kos efisien sekali gus menjadikannya pilihan utama pengendali perkapalan global,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jelasnya, kejayaan itu didorong oleh gabungan beberapa faktor termasuk tenaga kerja berdedikasi, strategi perancangan kapasiti berpandangan jauh serta soko­ngan berterusan kerajaan me­nerusi kerjasama awam-swasta.

“Kesemua faktor ini mengukuhkan reputasi Malaysia sebagai pintu masuk berdaya saing di Asia Tenggara, selain meletakkan Pelabuhan Klang sebagai pelabuhan paling kompetitif dan kos efisien di rantau ini,” ujarnya.

Menyentuh kesediaan menghadapi perubahan global, Ruben Emir berkata, Westports sentiasa terbuka kepada penerapan teknologi baharu seperti automasi, digitalisasi rantaian bekalan dan penggunaan kecerdasan buatan (AI).

“Bagaimanapun, setiap pela­buran dinilai berhati-hati dan hanya dilaksanakan apabila mem­beri manfaat jelas kepada pelanggan serta pulangan pelaburan yang kukuh, bagi memastikan perkhidmatan kekal efisien tanpa membebankan peng­guna. 

“Selain itu, aliran perdagangan ASEAN memberi peluang besar untuk Malaysia, khususnya apabila berlaku penjajaran semula rantaian bekalan global.

“Dengan asas infrastruktur kukuh, lokasi strategik dan kecekapan operasi tinggi, Pelabuhan Klang berada pada kedudukan unik untuk meraih bahagian lebih besar dalam perdagangan serantau,” katanya.

Pada masa sama, Ruben Emir mengakui industri perkapalan berdepan tekanan kos lebih tinggi melibatkan harga bahan api, cukai pelabuhan serta peralihan kepada kelestarian.

“Walaupun tekanan ini wujud, strategi pengurusan kos yang berfokus kepada kecekapan serta pelaburan teknologi bijak membolehkan kami kekal kompetitif dan terus menawarkan perkhidmatan bernilai tinggi,” katanya.

Sementara itu, Penga­rah Urusan Kumpulan Straits Energy Resources Berhad, Datuk Seri Ho Kam Choy berkata, Malaysia mempunyai kedudukan strategik dalam industri perkapalan serantau berikutan lokasinya di sepanjang Selat Melaka, satu daripada laluan perdagangan maritim tersibuk di dunia.

Beliau berkata, walaupun Singapura kekal sebagai hab utama dengan infrastruktur dan perkhidmatan pelabuhan canggih, Malaysia terus me­ningkatkan keupayaan me­nerusi pelaburan dalam pe­ngembangan pelabuhan, logistik dan perkhidmatan maritim.

“Berbanding China dan Indonesia, Malaysia mendapat manfaat daripada kestabilan politik selain tumpuan yang semakin meningkat terhadap pendigitalan dan kelestarian sektor perkapalan.

“Faktor utama yang mendorong pertumbu­han termasuk ke­du­du­kan strategik, inisia­tif kerajaan memperbaiki in­frastruktur pelabuhan serta peningkatan volum perdaga­ngan dalam ASEAN dan sete­rusnya.

“Selain itu, penyertaan Malaysia dalam perjanjian perdagangan serantau turut memudahkan aktiviti perkapalan rentas sempadan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau ber­kata, industri perkapalan negara berdepan cabaran kos operasi yang menjejaskan daya saing.

“Antara cabaran utama termasuk harga bahan api tidak menentu, cukai dan yuran pelabuhan tinggi, selain kekurangan tenaga kerja mahir seperti pegawai kapal dan jurutera.

“Kos penyelenggaraan dan pembaikan kapal yang tinggi, keperluan mematuhi peraturan keselamatan serta alam sekitar dan keterbatasan infrastruktur pelabuhan turut menambah beban operasi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×