GEOGRAFI adalah salah satu mata pelajaran yang pada asalnya berperanan penting dalam membentuk kefahaman tentang hubungan manusia dengan alam sekitar.
Malangnya, apabila mata pelajaran geografi tidak dijadikan subjek teras dalam pendidikan menengah atas, peranan pentingnya seolah-olah dipinggirkan.
Implikasinya amat besar. Murid pada hari ini terlepas peluang besar terhadap pendedahan tentang isu alam sekitar, bencana alam dan perubahan iklim yang semakin mendesak pada abad ini. Tanpa kesedaran mendalam melalui pendidikan formal, kita hanya akan melahirkan generasi yang hanya mementingkan pencapaian akademik, tetapi kurang rasa tanggungjawab terhadap bumi yang didiami.
Kita berdepan dengan perubahan iklim yang semakin mencabar. Pelbagai fenomena alam sekitar melanda pada skala dunia dan tempatan. Kejadian banjir besar dan tanah runtuh kerap dilaporkan, malah fenomena suhu panas melampau yang kita rasai pada hari ini dampaknya jelas terhadap alam sekitar fizikal dan manusia, semua ini bukan sekadar fenomena alam semata-mata.
Ia menjadi petanda jelas bahawa kerakusan manusia dan wujud jurang dalam pendidikan nilai yang turut menyumbang kroniknya krisis pada hari ini.
Mata pelajaran geografi sepatutnya menjadi wahana penting untuk melahirkan generasi yang bukan sahaja cakna mentafsir peta atau mengenal pasti faktor cuaca, tetapi juga mempunyai akhlak mulia, beradab dengan alam, serta berempati terhadap mangsa bencana.
Tanpa pemahaman ini, kebejatan nilai akan terus melebar. Tidak salah melahirkan murid terbilang dalam sains atau teknologi yang kita laung-laungkan, tetapi jika kehilangan kesedaran menjaga sungai, membuang sampah dengan berhemah atau mengurangkan pembaziran sumber, maka pendidikan itu masih dilihat masih pincang.
Oleh itu, sistem pendidikan perlu menilai semula kedudukan mata pelajaran geografi. Kementerian Pendidikan tidak boleh lagi mengoperasikan geografi sebagai subjek pilihan seperti yang berlaku hari ini, tetapi harus melihat dari kaca mata sebagai wahana pembentukan insan seimbang.
Guru geografi, misalnya, bukan sekadar mengajar fakta, tetapi mendidik murid tentang hormat kepada alam, disiplin dalam menggunakan sumber dan tanggungjawab sosial terhadap masyarakat yang terkesan akibat bencana. Nilai seperti empati, prihatin dan kesederhanaan inilah yang mampu membentuk adab mulia serta membendung kebejatan akhlak.
Hakikatnya, pendidikan tidak dapat dipisahkan daripada nilai kemanusiaan. Jika kita terus bersikap meminggirkan geografi, maka kita juga sebenarnya sedang meminggirkan sebahagian besar peluang untuk mendidik generasi yang benar-benar faham tentang kelestarian, perubahan iklim dan tanggungjawab menjaga bumi.
Kedudukan geografi dalam kurikulum menengah atas perlu dimartabatkan. Geografi bukan sekadar tentang fakta alam, tetapi tentang membina jati diri, akhlak dan adab generasi muda agar mereka menjadi warganegara yang berilmu, berperikemanusiaan dan bertanggungjawab.
Jika kita ingin melihat Malaysia yang benar-benar maju dan lestari, masa depan Malaysia tidak boleh bergantung kepada pembangunan ekonomi semata-mata. Ia juga perlu berteraskan kepada pembentukan nilai, akhlak dan adab generasi yang menghuni bumi ini.
Hanya dengan itu, kita dapat melahirkan warga Malaysia yang mampu menghadapi cabaran bencana alam, perubahan iklim dan pada masa sama mengekalkan kemuliaan nilai sejagat. – UTUSAN
DR. MOHAMMAD AZRI AMATAN
Pensyarah Kanan, Jabatan Geografi
dan Alam Sekitar Fakulti Sains Kemanusiaan
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)










