Korea Utara hukum mati rakyat tonton filem luar negara

Korea Utara hukum mati rakyat tonton filem luar negara

PEMIMPIN Korea Utara, Kim Jong Un (tengah) ketika menghadiri upacara memperingati ulang tahun ke-77 penubuhan Dewan Rakyat Demokratik Korea di Dewan Perhimpunan Mansudae, Pyongyang.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Kerajaan Korea Utara semakin kerap melaksanakan hukuman mati, termasuk terhadap individu yang ditangkap kerana menonton dan berkongsi filem serta drama televisyen dari luar negara.

Menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, kerajaan diktator itu juga menempatkan rakyatnya dalam buruh paksa, selain terus mengehadkan kebebasan mereka.

Pejabat Hak Asasi Manusia PBB mendapati kawalan ke atas semua aspek kehidupan warganya semakin diketatkan sepanjang dekad lalu, dengan pengawasan lebih meluas hasil kemajuan teknologi.

“Tiada populasi lain yang dikenakan sekatan seperti itu di dunia hari ini,” kata laporan tersebut.

Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, Volker Turk berkata, jika keadaan itu berlarutan, rakyat Korea Utara akan terus menderita, mengalami penindasan kejam dan sentiasa hidup dalam ketakutan.

Laporan berdasarkan temu bual bersama 300 individu yang melarikan diri dari Korea Utara dalam tempoh 10 tahun terakhir turut mendapati hukuman mati kini digunakan dengan lebih kerap oleh Pyongyang.

Sekurang-kurangnya enam undang-undang baharu diperkenalkan sejak 2015 yang membenarkan hukuman mati dilaksanakan.

Satu daripada kesalahan yang kini boleh dihukum mati adalah menonton dan berkongsi kandungan media asing seperti filem serta drama televisyen, selaras usaha pemimpin tertinggi Kim Jong Un untuk mengehadkan akses rakyat kepada maklumat.

Pelarian Korea Utara memberitahu penyelidik PBB, lebih ramai individu dihukum mati sejak 2020 kerana mengedarkan kandungan asing.

Mereka menjelaskan hukuman itu dilakukan oleh skuad penembak di khalayak ramai untuk menimbulkan ketakutan dan menghalang orang lain daripada melanggar undang-undang.- BBC

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×