Penggunaan alat elektronik seperti telefon, ketuhar gelombang mikro dan mesin X-Ray, sering dikaitkan dengan kesan radiasi yang menimbulkan kerisauan orang ramai mengenai kesannya kepada kesihatan dan tidak kurang mengaitkannya dengan penyakit digeruni seperti kanser.
Ini disebabkan tahap pengetahuan orang ramai mengenai kesan radiasi yang membabitkan mesin perubatan diagnostik seperti X-ray, ultrasound, CT Scan dan MRI yang biasa terdapat di hospital masih rendah.
Satu kajian oleh Pakar Radiologi Kanak-Kanak Fakulti Perubatan & Hospital Canselor Tuanku Muhriz,Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Faizah Mohd. Zaki dan pelajar sarjana radiologi UKM, Dr. Ng Chee Guan ke atas ibu bapa dan penjaga pesakit kanak-kanak, menunjukkan 40 peratus daripada responden mengetahui status radiasi mesin diagnostik perubatan yang dijalankan untuk membantu perawatan anak-anak mereka.

Kata Dr. Faizah, hakikatnya setiap hari kita terdedah kepada pelbagai jenis radiasi yang datang dari pelbagai sumber sama ada secara semulajadi mahupun buatan manusia. Walaupun pendedahan radiasi ini adalah perkara biasa, ia tetap memerlukan perhatian, terutamanya apabila dos radiasi yang diterima melebihi tahap yang selamat.
“Radiasi adalah sejenis tenaga yang bergerak dalam bentuk gelombang atau zarah. Di muka bumi ini, kita terdedah dengan radiasi. Radiasi boleh memberikan kesan buruk kepada kesihatan manusia sekiranya terdedah kepada radiasi, terutamanya radiasi mengion.
“Radiasi mengion yang terhasil daripada tindak balas elektron boleh merosakkan sel-sel tubuh manusia sehingga ke peringkat Asid deoksiribonukleik atau dikenali sebagai DNA (deoxyiribonucleic acid) yang boleh mengakibatkan mutasi atau kanser,” katanya.
Katanya lagi, radiasi juga boleh merosakkan sel-sel pembiakan menyebabkan kemandulan atau masalah kesuburan. Walaupun dos radiasi daripada mesin-mesin perubatan diagnostik adalah rendah, namun ia boleh memberikan kesan sampingan jangka masa panjang.
Ini terutamanya apabila seseorang mendapat pendedahan radiasi secara berkala iaitu pendedahan lebih tinggi dalam jangka pendek boleh menyebabkan kerosakan tisu segera seperti terbakar radiasi.
Dua kategori radiasi
Secara umumnya, radiasi boleh dibahagikan kepada dua kategori utama iaitu radiasi mengion dan radiasi bukan mengion.
“Radiasi mengion mempunyai tenaga yang tinggi untuk mengionkan atom, iaitu memecahkan ikatan atom dengan cara mengeluarkan elektron daripada atom yang bertembung dengannya.
“Sebagai contoh, radiasi mengion termasuk sinar-X, sinar gamma dan zarah-zarah alfa dan beta. Radiasi jenis ini berbahaya kepada kesihatan kerana ia boleh merosakkan sel-sel tubuh, seterusnya boleh menyebabkan kanser dan penyakit lain,” katanya.
Sementara itu, radiasi bukan mengion mempunyai tenaga lebih rendah dan tidak cukup untuk mengionkan atom. Sebagai contoh, radiasi jenis ini termasuk gelombang radio, mikrowave dan cahaya tampak.
Meski pun radiasi bukan mengion tidak mengionkan atom, pendedahan berlebihan kepada radiasi bukan ionisasi seperti daripada telefon bimbit atau peranti tanpa wayar, mungkin masih memberi kesan kepada kesihatan dalam jangka panjang. Bagaimanapun, kajian mengenainya masih berterusan.
Sumber radiasi
Dr. Faizah berkata, sumber radiasi yang kita terima boleh datang dari dua sumber utama iaitu radiasi latar belakang (background radiation) dan radiasi buatan manusia.
“Radiasi Latar Belakang (Background Radiation) adalah radiasi semula jadi yang ada di sekitar kita di mana kita sentiasa terdedah setiap hari. Sumber utama adalah radiasi kosmik yang terdiri daripada pancaran matahari dan ruang angkasa.
Selain itu, sumber radiasi latar belakang adalah seperti Radon, Uranium atau Thorium yang boleh didapati di dalam tanah ataupun bangunan.
“Mesin perubatan diagnostik seperti mesin x-ray, fluroskopi, CT Scan dan angiografi adalah contoh radiasi buatan manusia. Mesin-mesin ini digunakan untuk mengesan penyakit dengan menggunakan radiasi. Mesin-mesin ini adalah antara alat perubatan yang menggunakan radiasi mengion,” katanya.
Mesin radioterapi juga menggunakan radiasi mengion yang mempunyai dos radiasi yang lebih tinggi daripada mesin-mesin perubatan diagnostik kerana mesin radioterapi berfungsi untuk terapeutik bagi merawat penyakit kanser dengar pancaran radioterapi.
Industri tenaga nuklear juga menghasilkan radiasi mengion yang boleh memberi kesan kepada orang awam jika tidak dikendalikan dengan betul.
Mesin perubatan diagnostik yang membabitkan ultrasound atau MRI (Magnetic Resonance Imaging) pula tidak membabitkan radiasi dan kesan haba yang dikaitkan dengan pemeriksaan berkenaan adalah amat rendah.
“Salah satu kebimbangan utama dalam kalangan orang ramai adalah pendedahan kepada radiasi melalui prosedur perubatan. Dos radiasi yang diterima melalui mesin perubatan diagnostik biasanya lebih tinggi berbanding dos radiasi latar belakang, namun dos itu adalah masih rendah.
“Perbandingan boleh dibuat dengan dos radiasi latar belakang, boleh menghasilkan dos radiasi purata antara 1.5 hingga 2.5 milliSievert (mSv) setahun, bergantung kepada faktor geografi dan aktiviti manusia di kawasan berkenaan,” katanya.
Radiografi Dada (X-ray) yang biasa dijalankan di mana-mana premis yang mempunyai kemudahan X-ray memberi dos radiasi sekitar 0.1 mSv (milliSievert). Sekiranya kita mengambil dos radiasi semasa di Malaysia adalah 2mSv, dos sebanyak 0.1 mSv adalah bersamaan sekitar 20 hari pendedahan radiasi latar belakang.
Sementara, CT Scan kepala boleh memberikan dos radiasi sekitar 2 mSv, yang setara dengan pendedahan selama kira-kira 365 hari pendedahan radiasi latar belakang.
Katanya lagi, kanak-kanak lebih terdedah kepada bahaya radiasi berbanding dewasa kerana tubuh mereka yang sedang berkembang lebih sensitif terhadap kesan-kesan radiasi.
Pendedahan berlebihan boleh meningkatkan risiko kanser, masalah perkembangan sistem imun, serta gangguan pada organ-organ penting.
Oleh itu, penting untuk lebih peka dan mengambil langkah berjaga-jaga dalam mengurangkan pendedahan anak-anak kepada sumber radiasi, seperti mengelakkan penggunaan alat elektronik yang tidak perlu dalam jarak dekat dengan tubuh, serta memastikan peralatan perubatan yang menggunakan sinar-X hanya digunakan apabila benar-benar diperlukan.
Namun, prosedur-prosedur perubatan ini biasanya hanya dijalankan apabila diperlukan dan doktor akan memastikan bahawa faedah daripada pemeriksaan atau rawatan tersebut melebihi risiko pendedahan radiasi.
Penting untuk diingat radiasi perubatan, walaupun memberikan dos lebih tinggi, dijalankan dengan pengawasan ketat dan bertujuan untuk diagnosis dan rawatan yang memberi manfaat besar kepada pesakit. – UTUSAN










