PETALING JAYA: Selangor FC (SFC) akan menurunkan skuad terbaik dalam aksi kedua pusingan 16 Piala FA menentang Malaysia University Football Team (MUFT) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam ini.
Tempoh rehat dua minggu tanpa aksi kompetitif dimanfaatkan sebaik mungkin untuk memperkemaskan taktikal dan teknikal skuad Gergasi Merah bagi memburu tempat ke suku akhir Piala FA, selain bersaing di Liga Super.
Pengendali SFC, Katsuhito Kinoshi menegaskan pasukannya sudah bersedia sepenuhnya walaupun berdepan cabaran sepanjang rehat kalendar antarabangsa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Katanya, terdapat sebahagian pemain bersama skuad kebangsaan selain ada dipanggil skuad bawah 23 tahun dan selebihnya kekal berlatih di Shah Alam.
“Sebenarnya kami mempunyai beberapa kumpulan pemain. Ada yang berada dalam pasukan kebangsaan, ada yang bersama kami, dan ada yang menyertai pasukan kebangsaan bawah-23 tahun.
“Jadi, kami perlu bijak menyesuaikan diri dengan situasi ini. Namun saya rasa kami berjaya melakukannya dengan baik sepanjang dua minggu ini,” katanya.
Selangor membawa bekalan selesa selepas menundukkan MUFT 3-1 pada aksi pertama, namun Kinoshi tetap berwaspada kerana baginya Piala FA tidak pernah sunyi daripada kejutan.
“Kami yakin mampu menampilkan aksi terbaik sambil mempamerkan bola sepak berkualiti buat penyokong kami.
“Latihan intensif juga telah dijalankan khusus untuk pemain yang kekal bersama pasukan. Segala persiapan sudah dilakukan, selebihnya kita tunggu di atas padang,” ujarnya.
Mengulas mengenai barisan pemain, jurulatih dari Jepun itu menegaskan falsafahnya tetap konsisten menurunkan skuad terbaik yang boleh disediakan, biarpun tidak menolak kemungkinan melakukan sedikit penggiliran.
“Mungkin ada sedikit pertukaran, tetapi tonggak utama tetap akan diturunkan. Polisi saya jelas, iaitu menurunkan skuad terkuat yang mampu saya sediakan. Jadi tiada perubahan besar yang akan berlaku, dan kami berada dalam keadaan baik,” katanya. – UTUSAN










