MELAKA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) diarah menyiasat kemungkinan wujud elemen hasutan politik susulan serangan terhadap Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Suzilme Affendy Sulaiman di Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, Kuala Lumpur hari ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, jika wujud elemen tersebut, pihak berkuasa perlu memastikan dalang atau pelakunya dibawa ke muka pengadilan.
Katanya, beliau telah menghubungi Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail agar mengambil tindakan segera dan tegas serta diuruskan mengikut lunas undang-undang.
“Jika ada elemen yang bersifat datangnya daripada ahli politik yang terang-terang menunggang isu ini, semata-mata ingin menimbulkan ketegangan dan keresahan, tindakan segera perlu diambil.
“Sepintas lalu mereka ini dilihat ingin membela tetapi sebenarnya tampil dengan menghasut dan pada masa yang sama menyebarkan maklumat palsu.
“Mereka mahu dilihat sebagai membela tetapi sebaliknya menimbulkan tomahan dengan menganjurkan keganasan dan juga menyemarakkan kebencian,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) Ke-19 di Banda Hilir di sini, hari ini.
Sulizmie cedera di kepala dipercayai terkena balingan batu ketika mengawal keadaan dalam operasi pengosongan beberapa rumah di Kampung Sungai Baru.-UTUSAN









