Pengosongan penduduk Kampung Sungai Baru dianggap tergesa-gesa

Pengosongan penduduk Kampung Sungai Baru dianggap tergesa-gesa

AHMAD Fadhli Shaari
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pas mengecam tindakan pemaju yang melaksanakan pengosongan terhadap 179 penduduk Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur hari ini meskipun rayuan kes berkenaan masih menunggu tarikh perbicaraan di Mahkamah Rayuan pada 3 Oktober depan.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pihaknya menghormati keputusan mahkamah yang mengeluarkan perintah ex parte pada 20 Ogos lalu melalui Order 89.

Namun katanya, tindakan pemaju meneruskan pengosongan secara tergesa-gesa dianggap melampaui batas kemanusiaan.

“Sepatutnya pemaju menunjukkan budi bicara dengan menunggu proses rayuan selesai. Menghalau penduduk seolah-olah mereka penceroboh di tanah sendiri adalah suatu tindakan yang zalim,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Fadhli berkata, lebih membimbangkan apabila perintah Order 89 tidak membenarkan sebarang perobohan atau penggunaan jentera berat, namun penguatkuasaan yang dijalankan melibatkan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Katanya, tindakan agresif pemaju itu menafikan hak penduduk untuk mendapatkan pembelaan sewajarnya.

“Pas menzahirkan simpati dan solidariti penuh kepada penduduk Kampung Sungai Baru yang berdepan kesusahan mendadak akibat pengosongan ini.

“Simpati juga dirakamkan kepada seorang anggota polis yang cedera ringan dalam kekecohan tersebut.

“Pas akan terus memantau rapat perkembangan isu ini dan menghulurkan bantuan sewajarnya kepada penduduk yang terjejas,” katanya.

Beliau berkata, kejadian di Kampung Sungai Baru menjadi gambaran awal sekiranya Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (PSB) dilaksanakan kelak.

Katanya, ia dikhuatiri memberi kuasa terlalu besar kepada pemaju tanpa mengambil kira kebajikan rakyat.

“Pas menyeru rakyat Malaysia sama-sama membela penduduk Kampung Sungai Baru serta terus membantah RUU URA yang dijangka dibawa semula ke Parlimen pada Oktober ini,” katanya.

Terdahulu, ini merupakan kali kedua operasi pengusiran dilaksanakan selepas cubaan pertama pada 16 Julai lalu bagi mengeluarkan 14 keluarga gagal.

Projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru mendapat tentangan sebahagian penduduk, walaupun majoriti sudah menerima tawaran pampasan dan berpindah keluar lebih awal.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×