YAYASAN Waqaf Malaysia (YWM) sekali lagi melakar sejarah apabila dinobatkan sebagai penerima Asia Pacific Enterprise Awards (APEA) 2025 bagi kategori Inspirational Brand, sekali gus mengangkat nama Malaysia di pentas antarabangsa sebagai peneraju inovasi wakaf di Malaysia.
Pengiktirafan berprestij ini merupakan bukti komitmen YWM sebagai entiti wakaf kebangsaan yang sentiasa memperkasa peranan wakaf dalam membina kesejahteraan masyarakat, mengukuhkan ekonomi ummah serta menyumbang kepada agenda pembangunan negara.
Kejayaan ini seiring dengan aspirasi Malaysia Madani, yang menekankan nilai kesejahteraan, keadilan sosial dan kemampanan. Melalui inisiatif berterusan di bawah Pelan Al-Falah, YWM bukan sahaja mengurus wakaf sebagai instrumen kewangan Islam tetapi juga memanfaatkannya dalam bidang pendidikan, kesihatan, pemerkasaan ekonomi, pemeliharaan persekitaran dan pembangunan komuniti.
Pengiktirafan ini adalah milik seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa menyokong perjuangan wakaf sebagai instrumen pembangunan sosioekonomi negara.
YWM akan terus melangkah ke hadapan dengan visi menjadikan Malaysia sebagai hab wakaf terkemuka dunia dan usaha ini perlu mendapat sokongan berterusan daripada semua pihak. YWM telah melaksanakan pelbagai inisiatif strategik seperti pembangunan wakaf hartanah, pendidikan, kesihatan, kelestarian alam sekitar serta kerjasama pintar bersama sektor awam dan swasta. Pendekatan inovatif ini menjadikan wakaf sebagai pemangkin ekonomi inklusif dan mampan yang memberi manfaat kepada seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama.
Anugerah APEA 2025 ini bukan sahaja mengiktiraf YWM sebagai jenama inspirasi di rantau Asia Pasifik, malah turut mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai model unggul dalam mengangkat wakaf ke peringkat global.-UTUSAN
YAYASAN WAQAF MALAYSIA










