SHANGHAI: Satu kes penceraian luar biasa di China menjadi perhatian selepas sepasang suami isteri bercerai kerana gagal mencapai kata sepakat menamakan anak mereka, hingga bayi itu yang kini berusia lebih setahun masih belum memiliki sijil kelahiran.
Kes berkenaan dibicarakan di Mahkamah Rakyat Pudong New Area, Shanghai. Pasangan tersebut berkahwin pada 2023 dan dikurniakan seorang bayi lelaki setahun kemudian. Namun, perkahwinan mereka mula goyah apabila masing-masing berkeras mahu menggunakan nama pilihan sendiri untuk anak itu.
Bukti di mahkamah menunjukkan kedua-duanya pergi secara berasingan ke hospital untuk mendaftarkan nama bayi dengan pilihan masing-masing, namun kedua-dua percubaan itu ditolak kerana tidak mematuhi peraturan.
“Hingga kini, anak itu sudah lebih setahun, tetapi masih tiada sijil kelahiran. Dia tidak boleh mendaftar rumah tangga, malah sukar mendapatkan vaksinasi,” kata hakim yang mengendalikan kes tersebut.
Mahkamah menegaskan sijil kelahiran adalah asas penting bagi setiap bayi untuk mendapatkan identiti sah. Konflik peribadi yang melengahkan proses tersebut dianggap sebagai pelanggaran hak asasi kanak-kanak, dan kedua-dua ibu bapa perlu dipertanggungjawabkan.
Hakim turut mengingatkan anak tidak sepatutnya dijadikan bahan tawar-menawar dalam pertikaian rumah tangga, dan ibu bapa tidak boleh mengabaikan tanggungjawab penjagaan mereka.
Bagi melindungi hak kanak-kanak itu, mahkamah mengeluarkan Notis Penjagaan Kanak-Kanak Bawah Umur yang mewajibkan kedua-dua ibu bapa bekerjasama menyiapkan proses sijil kelahiran dalam tempoh yang ditetapkan. Namun, isu kembali berlarutan apabila mereka bertengkar tentang hak penjagaan dokumen asal.
Selepas beberapa kali percubaan mediasi, mahkamah memutuskan sijil kelahiran asal disimpan sementara oleh mahkamah sebelum diserahkan kepada si ibu untuk melengkapkan pendaftaran rumah tangga wajib.
Kes pelik ini menjadi tular di media sosial China, dengan ramai netizen mengkritik pasangan berkenaan kerana membiarkan perkara sekecil nama menghancurkan rumah tangga.









