Wanita gigit lidah penyerang seksual dibebaskan selepas 61 tahun dipenjara

Wanita gigit lidah penyerang seksual dibebaskan selepas 61 tahun dipenjara

Choi Mal-ja berusia 19 tahun pada 1964 ketika diserang seorang lelaki berusia 21 tahun di Gimhae. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Mahkamah di Korea Selatan membebaskan seorang wanita yang disabitkan kesalahan enam dekad lalu kerana menggigit sebahagian lidah lelaki ketika cuba mempertahankan diri daripada serangan seksual, selepas dia mencabar keputusan itu dengan semangat yang dipacu oleh gerakan #MeToo.

Choi Mal-ja berusia 19 tahun pada 1964 ketika diserang seorang lelaki berusia 21 tahun di Gimhae, selatan negara itu.

Menurut rekod mahkamah, lelaki tersebut menolak Choi ke tanah, berulang kali memaksa lidahnya ke dalam mulut mangsa, malah sempat menutup hidungnya untuk menghalang Choi daripada bernafas.

Dalam usaha melepaskan diri, Choi menggigit sehingga lidah penyerang itu terputus 1.5 sentimeter.

Namun dalam keputusan kontroversi ketika itu, penyerang hanya dijatuhkan hukuman penjara enam bulan, digantung dua tahun, atas kesalahan menceroboh dan ugutan tanpa pertuduhan cubaan merogol.

Sebaliknya, Choi disabitkan kesalahan menyebabkan kecederaan parah dan dijatuhi hukuman penjara 10 bulan, turut digantung selama dua tahun.

Selepas 61 tahun, Mahkamah Daerah Busan pada Rabu membatalkan sabitan tersebut dan memutuskan tindakan Choi adalah pertahanan diri yang sah di bawah undang-undang Korea Selatan.

“Tindakan tertuduh ketika itu dianggap sebagai usaha melindungi maruah tubuh dan hak penentuan seksualnya daripada pencerobohan tidak adil,” kata mahkamah dalam kenyataan rasmi.

Keputusan itu sekali gus membatalkan penghakiman tahun 1965 yang mendakwa tindakan Choi melebihi had munasabah pertahanan diri yang dibenarkan undang-undang.

“61 tahun lalu, dalam keadaan saya tidak memahami apa-apa, mangsa dianggap sebagai pelaku dan nasib saya ditentukan sebagai seorang penjenayah. Untuk semua mangsa yang mengalami nasib sama, saya mahu menjadi sumber harapan,” kata Choi dalam sidang media.

Rayuan Choi mendapat perhatian semula selepas tercetusnya gerakan #MeToo pada 2017 yang mendorongnya menuntut keadilan. Korea Selatan menyaksikan beberapa kejayaan gerakan wanita sejak itu, termasuk akses pengguguran dan hukuman lebih berat terhadap jenayah kamera intip.

Peguamnya kini merancang menuntut pampasan daripada kerajaan atas penderitaan yang ditanggung akibat sabitan salah enam dekad lalu. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×