Tiga didakwa rompak berkumpulan, memiliki harta samun

Tiga didakwa rompak berkumpulan, memiliki harta samun

T. S PRETTY (kiri), Muhammad Redzuan (tengah) dan Thantiran dibawa ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini bagi didakwa atas pertuduhan melakukan rompak berkumpulan dengan senjata dan memiliki harta samun jongkong emas pada Ogos lalu.-UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Tiga individu termasuk sepasang kekasih didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan rompak berkumpulan dengan senjata dan memiliki harta samun jongkong emas pada Ogos lalu.

Tertuduh, Muhammad Redzuan Muhammad Khairul Anuar, 25, dan kekasihnya T.S Pretty, 26, serta rakan G.Thanthiran, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Redzuan dan Thanthiran bersama-sama didapati melakukan rompak berkumpulan dengan senjata sebilah parang dan pisau terhadap seorang mangsa wanita dengan merompak dua pasang subang emas, seutas rantai leher emas, dua buah jongkong emas, dan seutas gelang tangan.

Kesalahan itu dilakukan lebih kurang pukul 3 pagi di Kota Seriemas, Nilai pada 3 Ogos lalu.

Sehubungan itu, kedua-dua tertuduh telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara selama tempoh maksimum 20 tahun dan dikenakan sebat.

Seterusnya Pretty pula telah didakwa memiliki harta samun iaitu jongkong emas dengan anggaran berat enam gram bernilai RM3,100 yang mana dia ada sebab mempercayai itu merupakan harta yang disamun.

Kesalahan itu dilakukan lebih kurang pukul 2 petang di tepi jalan berhadapan Kedai Pajak Sin Loong Sdn Bhd, Sentul di Kuala Lumpur pada 27 Ogos lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 412 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Zul Azrin Zainuddin dan Nur Nadiahani Ideris menawarkan jaminan RM20,000 bagi setiap tertuduh dengan syarat tambahan tidak boleh mengganggu saksi sehingga kes selesai.

Kesemua tertuduh yang masih belum berkahwin memohon jaminan minimum kerana mempunyai tanggungan keluarga yang mana Muhammad Redzuan bekerja sebagai buruh, Thanthiran kelindan lori dan Pretty sebelum ditangkap bekerja di sebuah kilang.

Pretty diwakili peguam P. Vitiya Monisha manakala dua lagi tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh dijamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin dan perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×