Serangan terhadap polis perbuatan keji, himpunan aman jangan disalah guna

Serangan terhadap polis perbuatan keji, himpunan aman jangan disalah guna

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam tindakan tidak bertanggungjawab pihak yang menyerang Ketua Polis Daerah Dang Wangi sehingga mencederakan penjawat awam berkenaan di Kampung Sungai Baru, Kampung Baru di sini, hari ini.

Anwar menyifatkan insiden itu sebagai perbuatan keji yang tidak boleh diterima, sekali gus menegaskan pihak berkuasa perlu segera menjalankan siasatan serta memberkas dalang terlibat.

“Kerajaan hormat hak untuk berhimpun secara aman dan menyatakan pendirian dan ia dibuktikan dengan konsisten melibatkan pelbagai himpunan sebelum ini. Namun, prinsip kebebasan juga menuntut kita untuk bertanggungjawab dan mesti patuh tunduk pada hukum, adab dan undang-undang.

“Insiden menyerang sehingga mencederakan penjawat awam yakni Ketua Polis Daerah Dang Wangi oleh pihak berkepentingan dan tidak bertanggungjawab adalah perbuatan keji dan mesti dikecam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Asisten Komisioner Suzilme Affendy Sulaiman mengalami kecederaan ketika operasi pengosongan kediaman penduduk Kampung Sungai Baru yang enggan berpindah.

Kejadian dikatakan berlaku ketika kekecohan tercetus apabila beberapa penduduk cuba merempuh masuk ke kawasan operasi.

Anwar berkata, himpunan aman tidak boleh disalahgunakan untuk kepentingan politik sempit hingga mencetuskan suasana tidak tenteram dalam masyarakat.

Katanya, sebarang bentuk keganasan yang berpunca daripada hasutan, kebencian dan maklumat palsu tidak boleh sama sekali dibiarkan berakar dalam masyarakat.

“Saya telah menggesa pihak berkuasa untuk segera menjalankan siasatan dan lekas memberkas dalang dan penyerang yang bertanggungjawab mencederakan,” katanya.

Perdana Menteri berkata, himpunan aman tidak wajar sama sekali disalahgunakan untuk kepentingan hingga menjejaskan ketenteraman masyarakat.

“Keganasan yang disemai melalui hasutan, kebencian dan maklumat palsu tidak boleh sama sekali dibiarkan berakar dalam masyarakat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×