Banjir kilat ragut enam nyawa di Bali, Flores - Utusan Malaysia

Banjir kilat ragut enam nyawa di Bali, Flores

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Banjir kilat melanda dua pulau di Indonesia termasuk destinasi pelancongan terkenal, Bali dengan mengorbankan sekurang-kurangnya enam orang manakala empat lagi dilaporkan hilang, menurut Agensi Mitigasi Bencana Kebangsaan (BNPB).

Hujan lebat yang bermula sejak lewat malam Selasa menyebabkan banjir di empat daerah di Bali, memaksa 85 orang dipindahkan, kata jurucakap BNPB, Abdul Muhari.

Banjir kilat turut melanda Pulau Flores di wilayah Nusa Tenggara Timur pada Isnin, menyebabkan 18 kampung terputus hubungan jalan dan komunikasi.

Ketua agensi, Suharyanto, mengesahkan kedua-dua insiden banjir tersebut mengorbankan nyawa.

“Di Bali, khususnya di daerah Jembrana, dua orang telah terkorban. Manakala di Nagekeo, Flores, empat orang maut dan empat lagi masih hilang,” kata Suharyanto.

Beliau berkata, beberapa kawasan di Bali masih ditenggelami air setakat hari Rabu, manakala air mulai surut di Flores.

Musim monsun tahunan yang biasanya berlaku antara November hingga April sering mengakibatkan tanah runtuh, banjir kilat dan penularan penyakit bawaan air.

Perubahan iklim turut mempengaruhi corak ribut, termasuk tempoh dan keterukan musim tersebut, yang kini membawa hujan lebih lebat, banjir kilat dan angin kencang yang lebih kuat.

Pada Mac lalu, banjir dan tanah runtuh di Pulau Jawa meragut tiga nyawa dan menyebabkan lima orang hilang selepas hujan lebat melanda lebih 20 kawasan.

Pada Januari, sekurang-kurangnya 25 orang terkorban akibat banjir dan tanah runtuh di sebuah bandar di Jawa Tengah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×