Bekas CEO GISBH, tiga akauntan hadapi 264 pertuduhan gubah wang haram

Bekas CEO GISBH, tiga akauntan hadapi 264 pertuduhan gubah wang haram

Wang haram GISBH
NASIRUDDIN Mohd. Ali tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah bagi menghadapi 109 pertuduhan pengubahan wang haram dekat Mahkamah Sesyen, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH), Nasiruddin Mohd. Ali dan tiga bekas akauntannya berdepan 264 pertuduhan berkaitan penggubahan wang haram bernilai keseluruhan RM40.01juta.

Bagaimanapun, tertuduh Nasiruddin, 66; Hamimah Yakub, 73 serta Asmat @ Asmanira Muhamad Ramly, 44, bersama suaminya Mohd. Khushairi Osman, 54, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan ke atas mereka secara berasingan.

Dalam prosiding yang memakan masa lebih empat jam bermula pukul 10 pagi itu, Nasiruddin yang berkerusi roda didakwa 109 pertuduhan melibatkan transaksi menerima dan memindahkan hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM14 juta.

Hamimah pula berdepan 60 pertuduhan melibatkan jumlah RM 710,000; Asmat @ Asmanira 41 pertuduhan, RM5 juta dan Mohd. Khushairi pula 54 pertuduhan berjumlah RM20.3 juta.

Kesemua kesalahan itu didakwa melibatkan 10 akaun berbeza termasuk milik tertuduh, GISB Mart Sdn. Bhd, GISB Travel Sdn. Bhd dan sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Bangi, Rawang dan Subang Perdana antara 2020 hingga 2024.

Justeru, mereka dituduh dibawah Subseksyen 4 (1) (b) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum dibawah Subseksyen (4)1 akta sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Izham Mohd. Marzuki, Megat Mahathir Megat Tharih Affendi dan P. Sangari mencadangkan jaminan RM50,000 bersama dua penjamin beralamat Kuala Lumpur dan Selangor.

Selain itu, syarat-syarat tambahan turut dikenakan ke atas tertuduh iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri pada minggu pertama setiap bulan di Bahagian AMLA Bukit Aman serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Namun, peguam Datuk Rosli Kamaruddin memohon ikat jamin rendah pada kadar RM20,000 bagi setiap tertuduh berdasarkan faktor tidak mempunyai pekerjaan dan pendapatan tetap terutama selepas ditahan polis dalam Operasi (Op) Global sejak tahun lalu.

Menurutnya, permohonan jaminan bagi Nasiruddin pula diserahkan kepada budi bicara mahkamah susulan anak guamnya sedang ditahan di bawah Akta Langkah Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“Majoriti dikaitkan dengan GISBH termasuk keempat-empat tertuduh melalui rehabiltasi (pemulihan) dan skim (program) di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Mereka tidak mampu menyara diri ketika ini. Malah, Asmanira yang pernah menulis skrip siri animasi TV, Kluang Man kini sedang menunggu mana-mana tawaran yang ingin menggunakan kemahirannya dalam penulisan novel,” katanya.

Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud kemudiannya menetapkan jaminan RM20,000 kepada Hamimah dan Asmanira manakala RM25,000 kepada Mohd. Khushairi.

Bagaimanapun, Nasiruddin pula tidak dibenarkan diikat jamin, namun perlu akur kepada syarat tambahan oleh pihak pendakwaan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 6 dan 25 November.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, Hamimah mengaku tidak bersalah di hadapan hakim sama atas sembilan pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM3.89 juta pada 2020 dan 2021. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×