Isteri bekas Perdana Menteri Nepal maut dibakar hidup-hidup

Isteri bekas Perdana Menteri Nepal maut dibakar hidup-hidup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KATHMANDU: Isteri kepada bekas Perdana Menteri Nepal maut selepas perusuh memerangkapnya di dalam rumah sebelum membakar kediaman itu dalam insiden tragis yang berlaku ketika protes ganas tercetus berhubung larangan penggunaan puluhan laman media sosial.

Rajyalaxmi Chitrakar, isteri kepada bekas Perdana Menteri Jhala Nath Khanal sempat dikejarkan ke hospital namun disahkan meninggal dunia, menurut laporan media tempatan.

Serangan mengerikan itu berlaku di kediaman mereka di Dallu, di mana sekumpulan perusuh bertindak mengepung dan menyalakan api sehingga rumah terbakar.

Jhala Nath Khanal pernah berkhidmat sebagai Perdana Menteri dari Februari hingga Ogos 2011 sebelum meletak jawatan selepas gagal mencapai persetujuan mengenai penggubalan perlembagaan dan proses keamanan di tengah-tengah krisis politik negara itu.

Kematian Rajyalaxmi berlaku hanya beberapa hari selepas sekurang-kurangnya 19 orang terkorban dan ratusan lagi cedera pada Isnin, apabila tunjuk perasaan menentang larangan 26 platform media sosial terkenal serta isu rasuah bertukar menjadi pertumpahan darah selepas pihak polis melakukan kekerasan.

Kerajaan Nepal dikritik hebat selepas melaksanakan larangan tersebut minggu lalu, susulan kegagalan syarikat-syarikat terbabit mematuhi tarikh akhir pendaftaran di bawah peraturan baharu.

Gelombang protes yang digelar sebagai ‘protes generasi Z’ itu menyaksikan puluhan ribu anak muda membanjiri jalanan bagi menyuarakan kemarahan mereka terhadap larangan tersebut serta dakwaan rasuah dan autoritarianisme kerajaan.

Walaupun kerajaan cuba mengenakan perintah berkurung di kawasan bergolak, kemarahan rakyat memuncak dan protes berlanjutan hingga ke malam.

Krisis itu memaksa Perdana Menteri KP Sharma Oli meletak jawatan pada Isnin lalu, diikuti Menteri Dalam Negeri Ramesh Lekhak yang turut berundur susulan kematian para penunjuk perasaan akibat tindakan polis.

Larangan media sosial yang berkuat kuasa sejak tengah malam Khamis lalu menimbulkan kekacauan besar di seluruh negara, menjejaskan perniagaan, pelancongan serta menyukarkan rakyat berhubung dengan keluarga di luar negara.

Antara platform yang disekat termasuk LinkedIn, Pinterest, Reddit dan Signal, manakala TikTok kekal beroperasi selepas mematuhi peraturan pendaftaran baharu. Aplikasi itu malah menjadi alat utama penganjur untuk menggerakkan protes.

Sejak larangan itu, rakaman video yang memaparkan kontras antara kesusahan rakyat biasa dengan gaya hidup mewah anak-anak ahli politik tersebar luas di TikTok, sekali gus membakar lagi kemarahan orang ramai. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×