KOTA BHARU: Kelab Bola Sepak AZM Rovers FC menyasarkan untuk layak ke peringkat separuh akhir pada penampilan pertama saingan Liga A2 musim ini
Pemiliknya Amin Zubair Muhammad berkata, keyakinan itu bersandarkan kepada persiapan rapi pasukan berkenaan sebelum saingan.
“Alhamdulillah musim kita mendapat sentuhan daripada bekas penyerang Kelantan, Khairul Zal Azmi Zainuddin sebagai jurulatih yang dibantu oleh Wan Zaman Wan Mustapa dan Mohd. Shahrizan Ismail.
“Untuk saingan musim ini, kita membawa masuk bekas pemain Piala Presiden yang pernah beraksi untuk Kelantan United, Pulau Pinang, Perak, dan Terengganu bagi memperkuatkan pasukan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Untuk saingan musim ini, AZM Rovers FC bakal berentap dengan Kuantan City, Raub FC Dan YPM FC.
Mengulas lanjut, Amin Zubair berkata, pihaknya tetap berwaspada dengan pasukan yang berada dalam kumpulan sama.
Katanya, AZM Rovers FC yang membawa ‘jiwa Kelantan’ bertekad memberikan persembahan terbaik dalam saingan itu nanti. – UTUSAN








