PERSEDIAAN menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) bakal menjadikan Muktamar Tahunan Pas ke-71 di Kedah yang bermula 11 hingga 16 September ini medan penuh tumpuan.
Antara yang dijangka menghangatkan perbahasan ialah isu kepimpinan Pas dalam Perikatan Nasional (PN), termasuk persoalan besar, adakah perdana menteri daripada Pas?
Topik ini bukan baharu. Sejak sekian lama, Pas yang memiliki kedudukan dominan dalam PN sering dilihat mengalah, meskipun kekuatan parti itu semakin jelas.
Kini, menjelang PRU16, persoalan kembali bergema, sudah tibakah masanya Pas tampil menerajui PN dan menonjolkan calon perdana menteri daripada barisan kepimpinan mereka sendiri?
Bagi menjawab persoalan itu, wartawan Utusan Malaysia, MOHD HAFIZ ABD. MUTALIB dan ASYRAF MUHAMMAD mendapatkan pandangan Mursyidul Am Pas, DATUK HASHIM JASIN, yang mengulas bukan sahaja isu kepimpinan, malah perkembangan menjelang muktamar kali ini.
JANGKAAN MUKTAMAR TAHUNAN PAS TAHUN INI
Saya rasa muktamar tahun ini boleh dikatakan hampir dengan PRU16, jadi sudah pasti keutamaan perbahasan akan berkait dengan PRU akan datang terutama daripada sudut perkembangan atau persediaan Pas menghadapi pilihan raya itu.
Presiden mungkin akan menggariskan panduan-panduan berhubung persiapan PRU, begitu juga kerjasama dengan parti-parti lain. Saya menjangkakan isu itu bakal menjadi topik utama perbincangan, sama ada dalam muktamar mahupun ucapan dasar Presiden.
Bagaimanapun, suasana perbahasan itu adalah perkara biasa bagi Pas sendiri dan juga perwakilan-perwakilan yang hadir. Saya yakin segalanya akan berjalan lancar tanpa menimbulkan masalah kepada parti, seiring dengan gelombang PRU yang bakal tiba bagi menampilkan semangat perpaduan kita.
PEMBAHARUAN PADA MUKTAMAR KALI INI
Sudah tentu ada perubahan dan penyesuaian kerana perkembangan dalam negeri sama ada politik mahupun isu-isu semasa sentiasa berubah. Sebagai sebuah parti yang hidup, Pas tidak boleh statik. Parti yang hidup akan terus bergerak dan bertindak. Hanya parti yang mati akan diam dan tidur.
Setiap isu yang timbul, Pas mempunyai pendirian yang jelas. Saya yakin perkara ini akan terus berjalan seperti biasa. Apa juga perkembangan politik tanah air, Pas sentiasa mengikuti dengan rapat. Yang penting, pendirian dan tindakan kita tidak boleh sekali-kali bercanggah dengan dasar parti dan prinsip Islam yang menjadi teras perjuangan.
BANGKIT ISU CALON ‘POSTER BOY’ ATAU PERDANA MENTERI
Saya berpendapat, kalaupun perkara itu dibangkitkan, ia bukanlah isu utama, khususnya berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sabah. Ia tidak menjadi fokus perbincangan kita. Sebaliknya, isu dalam negeri bersama parti-parti lain mungkin akan dibahaskan dengan lebih meluas dan mendalam.
KEPERLUAN PAS KETUAI PN
Secara peribadi, saya berpegang suasana sekarang, Pas wajar tampil sebagai pemimpin utama yang mengetuai PN. Hal ini selaras dengan aktiviti parti yang semakin rancak, semangat kian membara dan perpaduan yang semakin erat dalam kalangan ahli. Pergi mana pun, nampak makin rancak, semangat semakin tinggi dan perpaduan semakin erat dalam parti.
Pas perlu jadi penggerak utama. Mereka asyik bincang pasal ‘poster boy’, apakah Pas kekurangan pemimpin? Tidak adakah siapa bakal perdana menteri (dari Pas)?
Saya ambil contoh mudah dalam PRU 1990, ketika kita menang di Kelantan dan berkuasa di sana. Pas pilih Tok Guru Nik Aziz (Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat) sebagai Menteri Besar.
Beliau (Tok Guru Nik Aziz) banyak menghabiskan masa dalam bidang tarbiah, pengajian dan pendidikan, sampaikan UMNO pada ketika itu pun letakkan sasaran tiga bulan Kerajaan Negeri Kelantan akan tumbang namun akhirnya kekal sehingga kini.
Apabila Tok Guru ‘naik’, saya perhatikan langkah pertama dibuat beliau adalah tidak mahu menggunakan kereta Menteri Besar. Beliau hendak ambil yang timbalan (Timbalan Menteri Besar). Beliau tidak duduk rumah rasmi kerajaan. Beliau ada rumah sendiri, itulah contoh. Kemudian, selain potong elaun gaji 40 peratus, beliau bagi semula kepada kerajaan negeri.
Benda-benda seperti inilah rupanya dinilai oleh rakyat dan dapat berkat dari Allah SWT. Berapa lama beliau jadi Menteri Besar? Orang kata tiga bulan tetapi 20 tahun lebih beliau boleh berkuasa dan memerintah.
Apabila hendak bersara, beliau tunjukkan siapa boleh ganti tempatnya dan sikap yang berpegang pada dasar Islam yang sebenarnya. Bukan untuk kepentingannya sendiri tetapi demi Islam. Yang itu Tok Guru semai elok-elok, benda haram beliau tidak benar di Kelantan. Berkat dari itu sejak 1990 sampai sekarang, kita masih merasai berkat di Kelantan.
Jadi saya rasa kalau pemimpin yang diberi amanah untuk memimpin kerajaan negeri atau kerajaan Persekutuan mengamalkan dasar sama dipegang oleh Tok Guru, maka dia akan kekal.
Tiada siapa mampu menewaskannya selagi dia sendiri tidak berundur. Inilah juga sikap dan akhlak para sahabat Nabi SAW dahulu. Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar hendak jadi khalifah pun cadang sama sendiri. Abu Bakar cadang Umar, Umar cadang Abu Bakar dan akhirnya keutamaan diberi kepada Abu Bakar yang lebih afdal. Apabila pemilihan dibuat tepat maka kekallah kepimpinan itu.
Kata-kata Saidina Umar yang saya ingat sampai hari ini, “Tak ada baik untuk kamu wahai rakyat kalau tidak menegur aku.”
Lihatlah kembali kepada prinsip dan dasar Islam, namun realitinya hari ini, sesiapa yang menegur pemimpin, dia pula yang dikenakan tindakan.
TIADA PERTANDINGAN LIMA JAWATAN TERTINGGI, PAS CUBA TUTUP RUANG DEMOKRASI?
Itulah, alasan yang sama. Orang akan kata Pas ketandusan pemimpin sampai tidak ada pertandingan. Mereka hendak lihat yang hanya pandai bercakap, boleh bersyair, itu sahajalah yang layak jadi pemimpin, ia bukan seperti itu.
Contohnya, seperti Tok Guru Nik Aziz, bahasa Inggeris beliau bukan hebat sangat tetapi apabila memerintah pertamanya, beliau pergi letak dekat merata jalan kalimah Subhanallah, Allahu Akbar dan Alhamdulillah.
Apa kena mengena semua ini? Orang tidak pernah terfikir tapi itulah dasar utama kepada seseorang pemimpin yang memerintah.
TIDAK KEKOK PUJI MUHAMMAD SANUSI
Bagi saya, sikap Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor (Menteri Besar Kedah) disanjung tinggi. Malah, setiap kali berdepan dengannya, saya tidak teragak-agak untuk memuji beliau.
Ini jelas menunjukkan perjuangan kita bukan semata-mata kerana mengejar pangkat. Namun, jika diberi amanah, kita akan galas tanggungjawab itu dengan tekad untuk melaksanakan sesuatu yang bermakna.
Jadi saya rasa dia (Muhammad Sanusi) buat pertimbangan baik. Saya sendiri pun kalau pergi muktamar nanti dan diberi peluang mengundi, kalau ada empat jawatan itu, sudah tentu salah seorang calon yang hendak saya undi ialah Muhammad Sanusi sebab sikapnya.
Ertinya, apa yang dilakukannya bukan kerana pangkat. Dalam ucapannya sendiri, beliau menyatakan jika parti kata ‘terus’, maka dia terus kalau parti kata “tak perlu”, dia berhenti tanpa persoalan. Inilah semangat seorang pemimpin sejati.
ABDUL HADI BERDEPAN MASALAH KESIHATAN TETAPI TIDAK ABAI TANGGUNGJAWAB
Dari sudut fizikal, kita semua maklum beliau sering sakit, keluar masuk hospital. Namun dari sudut kepimpinan, jika kita menelusuri sejarah Nabi SAW, baginda tidak pernah meninggalkan tugas mengimamkan solat kecuali apabila benar-benar kehabisan tenaga. Ketika itu barulah Saidina Abu Bakar dipilih untuk menggantikan baginda sebagai imam. Begitulah nilai kepimpinan yang tidak bergantung pada fizikal semata-mata tetapi pada keazaman dan amanah perjuangan.
Daripada sudut itu, saya cukup kagum dengan Tok Guru Hadi (Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang). Walaupun sering keluar masuk hospital, namun kuliahnya tidak pernah terputus. Bayangkan, Jumaat minggu ini beliau dimasukkan ke wad, tetapi Jumaat berikutnya, sudah kembali menyampaikan kuliah seperti biasa.
Dalam mesyuarat Majlis Syura pula, kita tahu beliau uzur, terpaksa dipimpin oleh empat atau lima orang untuk masuk dewan. Namun sebaik sahaja mikrofon diberikan, beliau berucap dengan penuh semangat, seolah-olah langsung tidak sakit. Itulah semangat luar biasa seorang pejuang.
Parti masih memerlukan Abdul Hadi, bukan sebab tenaga fizikalnya tetapi akal fikiran dan panduannya.
Sebab itu Pas boleh terima beliau. Kita inginkan tunjuk ajar, pandangan dan panduan daripada beliau.
Sejarah membuktikan, keuzuran fizikal bukanlah alasan mutlak untuk menafikan kelayakan seseorang menjadi pemimpin.
PAS MESTI PIMPIN PN
Itu saya tidak boleh jawab. Terpulanglah kepada jawatankuasa parti-parti dalam PN (untuk kekalkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN atau tidak). Apa pun, daripada dulu lagi saya cakap Pas mesti memimpin.
PRU16: TERBUKA KERJASAMA DENGAN PARTI LAIN
Perkara itu sedang diperhatikan dan dinilai. Sebelum ini, saya bersama beberapa orang sahabat mengadakan pertemuan dengan pimpinan MCA. Ketua MCA hadir bersama tiga yang lain, manakala kami berlima mewakili Pas. Dalam perbincangan itu, sudah ada gambaran awal tentang hala tuju yang boleh diambil bersama. Prinsipnya mudah, selagi tidak bercanggah dengan Islam dan demi perpaduan negara, kita sedia terbuka dan menerima.
Sebab itu, Tuan Ibrahim Tuan Man juga mengalu-alukan usaha ini dan turut hadir dalam pertemuan tersebut.
Kita akan terus memerhati, termasuk dalam isu seperti Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB). Kita mahu melihat sikap mereka, termasuk dari MCA dan MIC. Jika ia merugikan Islam, kita akan tentang. Tetapi jika menguntungkan rakyat dan selari dengan kepentingan Islam, kita sokong.
Pun begitu, kami masih belum membuat keputusan untuk menjalin kerjasama bersama MCA atau MIC. Pun begitu, ke arah itu sedang berjalan. Sebab itu Tuan Ibrahim buat pelawaan. Maka tidak hairanlah, pelawaan Pas ini membuatkan musuh-musuh politik kita mulai resah dan tidak senang duduk.
Kerjasama kita tidak pernah tutup tetapi berharap satu dasar dibuat berkait perpaduan ini. Jangan dibuat oleh satu pihak. Runding dulu, bincang dulu masak-masak dan buat keputusan bersama.
Kita dapat lihat sambutan rakyat terhadap Pas semakin hari semakin positif. Sokongan terus bertambah kerana rekod bersih yang ditunjukkan pemimpin Pas. Tidak ada pemimpin kita yang diseret ke mahkamah kerana rasuah.
Macam kita, di Perlis ini sikit-sikit ada. Tapi tidaklah melibatkan berbilion duit habis.
Baru-baru ini, bekas Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil walaupun bukan ahli Pas pun menyatakan sokongan terhadap pendekatan dan dasar yang dibawa oleh parti ini.
Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (Timbalan Perdana Menteri) pula cuba rendahkan Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti), gaji murah dan lain-lain. Dia cuba nak rendahkan tetapi tidak jalan. Orang akan nilai balik, Pas ini banyak pengorbanan dan disebabkan itu kita tidak berebut jawatan.
YAKIN KEKALKAN EMPAT NEGERI
Negeri kita jaga elok berdasarkan panduan-panduan Islam. Kita utamakan kemaslahatan rakyat lebih daripada kepentingan diri. Pemimpin macam ini kita perlu tonjolkan dan letak di hadapan untuk memimpin. Kalau Pas dapat buat itu dan sekurangnya PN kekal dasar ini, maka saya rasa kita boleh terus kuasai negeri-negeri ini.
PENDIRIAN TENTANG KERAJAAN PERPADUAN
Setakat sekarang ini masih boleh berjalan lagi tetapi tidak tahu lagi jika ada isu besar yang kita tolak atau mereka tolak.
Saya melihat Pas adalah antara parti yang paling banyak membuka ruang ke arah perpaduan. Ketika bersama Pakatan Rakyat (PR), UMNO, siapakah yang paling kuat memperjuangkan agenda penyatuan, khususnya dalam kalangan umat Islam dan bangsa Melayu?
Saya mengikuti perkembangan ini dan dapati usaha-usaha Pas banyak membantu menjernihkan hubungan, bukan sahaja antara parti politik, malah dalam kalangan masyarakat dan ‘keluarga’ sendiri.
Dahulu, perbezaan parti menyebabkan ada ‘adik-beradik’ tidak bertegur sapa. Hari ini, hasil pendekatan damai yang dibawa, luka-luka lama itu mulai sembuh. Penyakit permusuhan sesama bangsa dan agama semakin terhapus.
BUKAN SEKADAR PARTI AGAMA TETAPI MAMPU URUS EKONOMI NEGARA
Saya kembali kepada kepimpinan Tok Guru Nik Aziz. Semasa menjadi Menteri Besar Kelantan, beliau sangat berpegang teguh kepada dasar. Perkara melibatkan asas pemerintahan, beliau kendalikan sendiri. Beliau rujuk kepada pelbagai kitab. Sebab itu, ada banyak perkara yang beliau berani haramkan atas prinsip agama.
Antaranya, Tok Guru melarang wang kerajaan negeri disimpan di bank. Dalam mesyuarat bersama pihak bank, mereka bertanya, bagaimana kami ingin berniaga kalau duit kerajaan negeri ‘keluar’?
Jawapan Tok Guru, “‘itu urusan kamu, sebab yang akan menjawab di hadapan Allah SWT nanti ialah saya.”
Ini menunjukkan isu ‘tak boleh buat’ sebenarnya tidak timbul, asalkan kita ada syarat dan kuasa. Seorang pemimpin tidak perlu tahu semua perkara tetapi bila tidak tahu, perlu tanya kepada orang yang tahu. Ini selari dengan ajaran al-Quran.
Jangan kita buat pandai. Kita tidak tahu ekonomi, kita panggil ahli ekonomi. Lepas itu kita pilihlah mana yang terbaik. Panggil pakar duduk sekali dan biarkan mereka beri cadangan dan kita pilih yang terbaik terbaik. Kuasa memilih itu kita.
Dalam konteks Pas, kita tidak kekurangan golongan pemikir dan pakar dalam pelbagai bidang. Justeru, tiada sebab mengapa Pas tidak boleh memimpin kerajaan.-UTUSAN










