KANGAR: Seorang pembantu kebajikan masyarakat di sebuah rumah perlindungan kanak-kanak didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas sembilan pertuduhan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan pada hujung tahun lalu.
Tertuduh, Muhammad Zamir Abdul Wahab, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan sembilan pertuduhan amang seksual fizikal bagi maksud seksual ke atas seorang remaja perempuan berusia 17 tahun.
Pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 14 (b) Akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh dihukum sebat.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di tepi tangga dan sebuah bilik dekat Pejabat Pembantu Kebajikan Masyarakat di sebuah rumah perlindungan kanak-kanak di negeri ini antara pertengahan November hingga Disember 2024.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nabilah Ahmad Poad manakala tertuduh diwakili peguam, Nurul Syuhada Mohd Yusof dan Lizawati Salamon.
Semasa prosiding, Nabilah mencadangkan kepada mahkamah agar tertuduh dikenakan jaminan sebanyak RM30,000.
Namun begitu, peguam tertuduh dalam rayuan memohon jaminan dikurangkan ke atas tertuduh kerana Muhammad Zamir merupakan bapa tunggal dan perlu menanggung seorang anak perempuan.
Selain itu, tertuduh juga merupakan seorang penjawat awam dan tidak mempunyai sebab untuk melarikan diri.
Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh dikenakan jaminan sebanyak RM15,000 bersama syarat tambahan iaitu pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah, selain melaporkan diri di balai polis pada setiap bulan dan dilarang mengganggu mangsa.
Mahkamah juga menetapkan 9 Oktober sebagai tarikh sebutan semula bagi serahan dokumen. Tertuduh kemudian membayar jaminan.-UTUSAN










