Dua penganggur tidak mengaku rogol remaja perempuan

Dua penganggur tidak mengaku rogol remaja perempuan

MUHAMMAD Zulhakimi (baju kuning) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol remaja peremouan bawah umur pada Ogos lalu. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Dua penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol remaja perempuan bawah umur pada Julai dan Ogos lalu.

Tertuduh, Muhammad Zulhakimi Zulhilmi, 19, dan S.Karthikeyen, 19, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Zulhakimi didakwa telah merogol mangsa remaja perempuan berusia 16 tahun enam bulan lebih kurang pukul 3.30 hingga 4 pagi di sebuah rumah di Taman Kemuning di sini pada 30 Ogos lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Karthikeyen pula didakwa merogol mangsa remaja perempuan berusia 15 tahun 11 bulan di dalam sebuah kereta Proton Satria di taman permainan dekat Taman Molek, Gemas di Tampin lebih kurang pukul 8 hingga 9 malam pada Julai lalu.

Sehubungan itu, mereka telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmuni menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan syarat-syarat tambahan bagi setiap tertuduh.

Menurut Norazihah, hubungan tertuduh Muhammad Zulhakimi dengan mangsa adalah kenalan manakala Karthikeyen dan mangsa dalah pasangan kekasih.

Muhammad Zulhakimi yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memberitahu, dia sedang mencari pekerjaan dan akan dijamin oleh bapanya yang berpendapatan tidak menentu termasuk mengambil upah membina rumah dan lain-ian.

Manakala Karthikeyen diwakili peguam S.Vinesh memohon jaminan paling minima memandangkan keluarga tertuduh berpandapatan rendah dengan bapanya bekerja sebagai pengumpul besi buruk.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing dijamin RM9,000 dengan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis sekali sebulan,menyerahkan pasport dan tidak menganggu saksi sehingga kes selesai.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 14 Oktober depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini