KUALA LUMPUR: Pihak menghantar mesej ugutan membabitkan aspek keselamatan fasiliti gas asli cecair (LNG) didakwa menggunakan nombor telefon Indonesia.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, mesej itu telah diterima oleh salah seorang kakitangan Petronas di ibu pejabat syarikat itu.
“Penghantar itu mendakwa akan membakar LNG negara sekiranya tidak mendapat maklum balas terhadap mesej yang dihantar.
“Polis sedang membuat siasatan. Sebagai langkah berjaga-jaga, Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah mengeluarkan arahan untuk meningkatkan kawalan keselamatan.
“Kita tidak tahu sama ada ancaman itu melibatkan fasiliti LNG di Bintulu atau Sabah, sebab mesej hanya menyebut LNG tanpa spesifik lokasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Pelan Tindakan Kebangsaan Mengenai Wanita, Keamanan Dan Keselamatan dan 2025 ASEAN Women, Peace
And Security Summit di ibu negara di sini, hari ini.
Selain itu, Fadillah berkata, pihak berkuasa memandang serius ugutan berkenaan dan semua langkah keselamatan telah ditingkatkan bagi memastikan keselamatan aset strategik negara terjamin.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan MKN akan meningkatkan kawalan di semua fasiliti pengeluaran gas asli cecair (LNG) dalam negara, khususnya di Bintulu, Sarawak diperketatkan dengan serta-merta buat sementara waktu.
Katanya, tindakan itu untuk membolehkan pihak keselamatan dan pihak-pihak yang bertanggungjawab melaksanakan siasatan segera terhadap ancaman tersebut.
“Agensi-agensi keselamatan negara kekal bersedia berdepan sebarang kemungkinan dan telah mengambil langkah-langkah kawalan terhadap ancaman keselamatan itu,” katanya.
MKN turut menegaskan bahawa agensi keselamatan negara sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan dan telah mengambil langkah kawalan sewajarnya bagi memastikan keselamatan fasiliti strategik negara. – UTUSAN










