WASHINGTON: Kongres Amerika Syarikat (AS) mahu menghalang Turkiye daripada memperoleh jet pejuang F-35, selagi Ankara tidak mengusir pemimpin Hamas dan menghentikan sokongan terhadap pergerakan perjuangan Palestin, menurut laporan akhbar harian Ibrani Maariv pada Ahad.
Beberapa pindaan dicadangkan dalam Rang Undang-Undang Kebenaran Pertahanan Negara (NDAA) 2026, yang berpotensi menyekat semua pemindahan senjata ke Turkiye meskipun hubungan strategik antara kedua-dua negara dalam kerangka pakatan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) sudah lama terjalin.
Turkiye sudah berbulan-bulan berusaha untuk memuktamadkan pembelian F-35, namun rundingan sering tergendala dan bersambung semula tanpa kesepakatan muktamad.
Antara isu yang dibangkitkan oleh ahli Kongres termasuk pembelian sistem pertahanan udara S-400 buatan Russia oleh Turkiye, pelanggaran ruang udara Greece secara berulang, serta ketegangan berterusan berhubung isu Cyprus Utara.
Namun, menurut laporan tersebut, kebimbangan utama Kongres kini tertumpu kepada hubungan Turkiye dengan Hamas.
Dua ahli Kongres, Gus Bilirakis (Republikan) dan Brad Schneider (Demokrat) mengemukakan pindaan yang melarang penjualan F-35 selagi White House tidak mengesahkan Turkiye tidak memberikan sokongan ketara kepada Hamas atau mana-mana cabang pergerakan itu.
Pindaan berkenaan turut menetapkan pentadbiran AS perlu mengesahkan Turkiye tidak menjadi ancaman ketenteraan kepada Israel serta tidak menjalinkan kerjasama ketenteraan dengan Russia, China, Iran, atau Korea Utara termasuk dalam sektor jualan dron.
Jika diluluskan, langkah-langkah ini boleh menghalang secara kekal akses Ankara terhadap pesawat pejuang generasi kelima milik AS itu. -AGENSI










