KUALA LUMPUR: Malaysia akan menghantar pasukan terakhir ke Lubnan sebelum mandat misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) tamat pada penghujung 2026.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Majlis Keselamatan PBB pada minggu terakhir Ogos telah melanjutkan mandat UNIFIL selama setahun sehingga 2026.
“Ini bermakna kita akan menghantar satu lagi pasukan tahun depan dan berakhir pada 2026.
“Selepas itu, kita tidak akan ada lagi UNIFIL di Lubnan. Kemudian kita akan meneruskan proses pengunduran untuk mereka balik dan sebagainya,” katanya dalam sidang akhbar selepas lawatan kerja ke Markas Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat di Sungai Besi, di sini.
Pada 18 Ogos lalu, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebulat suara meluluskan pelanjutan misi pengaman yang telah sekian lama beroperasi di Lubnan untuk kali terakhir hingga hujung 2026.
Ia kemudian akan memulakan proses penarikan balik serta pengunduran secara teratur dan selamat dalam tempoh setahun.
PBB memutuskan untuk melanjutkan buat kali terakhir mandat UNIFIL yang ditubuhkan pada 1978 bagi melakukan operasi kawalan di sempadan selatan Lubnan dengan Israel.
UNIFIL adalah pasukan misi pengaman dengan lebih 10,000 anggota dari 47 negara dengan jumlah tertinggi terdiri daripada Indonesia dan Itali.
Penglibatan Malaysia bagi misi pengaman ini bermula apabila kerajaan telah meluluskan penglibatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam misi UNIFIL sejak tahun 2006 bagi membantu pasukan pengaman dari lain-lain negara anggota PBB menguatkuasakan Resolusi 1701 Majlis Keselamatan PBB dengan menempatkan pasukan pengamannya di Lubnan di bawah Batalion Malaysia atau MALBATT.
Tanggungjawab teras MALBATT ialah meronda dan memantau Garisan Biru — sempadan yang digariskan PBB antara Lubnan dan Israel selain membantu Angkatan Tentera Lubnan mengekalkan keselamatan di kawasan berkenaan.
Batalion itu turut memainkan peranan dalam aktiviti kemanusiaan dan masyarakat, termasuk memberi bantuan perubatan, membaiki infrastruktur dan menyokong pembangunan tempatan.
Sepanjang penugasan, MALBATT mendapat pengiktirafan atas profesionalisme serta penglibatan rapat dengan komuniti setempat.
Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, ATM bersedia menghantar pasukan perubatan ke Afghanistan susulan bencana yang melanda negara terbabit.
Beliau berkata, ia bagaimanapun akan dibincangkan dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) hari ini bagi menentukan bentuk bantuan yang diperlukan.
“Jika ada apa-apa keputusan dan arahan yang melibatkan kita untuk menghantar pasukan perubatan kita, kita bersedia. Maka kita tunggu keputusan daripada NADMA,” katanya. – UTUSAN










