KATHMANDU: Ribuan anak muda Nepal berhimpun di ibu negara Kathmandu menuntut kerajaan menarik balik larangan terhadap platform media sosial dan menghapuskan budaya rasuah yang berleluasa di negara itu.
Beberapa platform popular termasuk Facebook, YouTube dan X tidak dapat diakses sejak Jumaat lalu selepas kerajaan menyekat 26 platform tidak berdaftar, menyebabkan pengguna marah dan keliru.
Platform popular seperti Instagram mempunyai jutaan pengguna di Nepal yang bergantung kepadanya untuk hiburan, berita dan urusan perniagaan.
Dengan mengibarkan bendera negara, para penunjuk perasaan generasi Z memulakan protes dengan menyanyikan lagu kebangsaan sebelum melaungkan slogan membantah larangan media sosial dan rasuah.
“Kami terdorong oleh larangan media sosial, tetapi itu bukan satu-satunya sebab kami berhimpun di sini. Kami membantah rasuah yang telah berakar umbi di Nepal,” kata pelajar, Yujan Rajbhandari, 24.
Seorang lagi pelajar, Ikshama Tumrok, 20, menegaskan mereka membantah sikap autoritarian kerajaan.
“Kami mahu perubahan. Generasi sebelum kami mungkin menanggungnya, tetapi ia mesti berakhir dengan generasi kami,” katanya kepada AFP.
Pasukan keselamatan Nepal dilaporkan menggunakan gas pemedih mata dan meriam air untuk mengawal protes yang semakin tegang.
Pegawai maklumat di Hospital Awam berhampiran, Ranjana Nepal berkata, wad kecemasan mereka sesak dengan mangsa yang cedera akibat pertembungan itu.
Keadaan bertukar kecoh apabila penunjuk perasaan memasuki kawasan larangan berhampiran Parlimen, malah ada yang memanjat dinding untuk masuk ke dalam kawasan tersebut.
“Gas pemedih mata dan meriam air digunakan selepas penunjuk perasaan menceroboh kawasan larangan. Ramai di kedua-dua belah cedera,” kata jurucakap polis, Shekhar Khanal.
Pihak pentadbiran daerah menguatkuasakan perintah berkurung di beberapa kawasan utama bandar itu, termasuk bangunan parlimen, kediaman Presiden dan Singha Durbar yang menempatkan pejabat perdana menteri.
Sejak larangan itu dikuatkuasakan, video di TikTok yang masih beroperasi memaparkan perbezaan hidup rakyat biasa dengan anak-anak ahli politik yang mempamerkan barangan mewah dan percutian mahal menjadi tular.
“Ada gerakan anti-rasuah di luar negara dan kerajaan bimbang ia akan berlaku di sini juga,” kata penunjuk perasaan, Bhumika Bharati.
Kabinet bulan lalu memutuskan syarikat yang terkesan diberi tujuh hari untuk mendaftar di Nepal, menubuhkan pusat hubungan dan melantik pegawai aduan serta pegawai pematuhan.
Keputusan itu dibuat selepas arahan Mahkamah Agung pada September tahun lalu.
Dalam kenyataan pada Ahad, kerajaan memakumkan menghormati kebebasan berfikir dan bersuara serta komited untuk mewujudkan persekitaran yang melindungi dan membenarkan penggunaannya tanpa halangan.
Nepal sebelum ini pernah menyekat akses kepada platform popular dalam talian.
Pada Julai, kerajaan menghalang aplikasi pemesejan Telegram dengan alasan peningkatan penipuan dalam talian dan pengubahan wang haram.
Larangan sembilan bulan terhadap TikTok ditarik balik pada Ogos tahun lalu selepas platform itu bersetuju mematuhi peraturan di Nepal.-AFP










