KUALA LUMPUR: Pakej pelancongan domestik terutama luar bandar terus menjadi pilihan utama para pengunjung yang datang ke MATTA Fair.
Pengurus Pelancongan Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia), Khairunnisa Abdul Ramli berkata, ramai pelancong kini cenderung memilih lokasi seperti Dabong, Kelantan dan Wang Kelian, Perlis yang sebelum ini kurang dikenali.
“Peningkatan promosi kerajaan serta kemudahan yang ditambah baik di lokasi-lokasi ini telah menjadikan kawasan tersebut lebih menarik untuk diterokai oleh orang ramai,” katanya ketika ditemui di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, semalam.
MATTA Fair berlangsung selama 5 hingga 7 September di MITEC dengan menekankan pelancongan lestari dan pemeliharaan warisan budaya.
Acara itu turut menghimpunkan ratusan pempamer dengan pelbagai tawaran percutian pada harga yang berpatutan.
Khairunnisa berkata, dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 semakin hampir, agensi pelancongan menjangkakan lebih ramai rakyat tempatan akan meneroka pelbagai destinasi domestik, selain potensi menarik pelancong asing.
Katanya, lawatan ke Kundasang, Sabah misalnya sering dibandingkan dengan Switzerland tetapi kosnya jauh lebih rendah iaitu tidak sampai RM1,000 berbanding tiket penerbangan ke Switzerland yang melebihi RM3,000.
“Jelaslah bahawa rakyat Malaysia kini mampu merasai pengalaman setanding seperti luar negara pada harga yang berpatutan tanpa menelan kos yang tinggi,” katanya.
Dalam pada itu, seorang pengunjung, Zetti Zieleila Zainol, 49, berkata, dia tertarik dengan perkembangan pesat sektor pelancongan Perlis kerana dahulunya negeri itu tidak mempunyai banyak produk.
“Bercuti dalam negara kini lebih sesuai kerana mudah dirancang, selamat dan pada masa sama menyokong ekonomi tempatan. Saya lebih mementingkan bajet yang berbaloi dengan harga ditawarkan,” katanya. – UTUSAN











