Suntikan halang rambut beruban di China cetus keraguan

Suntikan halang rambut beruban di China cetus keraguan

SEORANG pelakon terkenal China mendakwa dia berjaya mengembalikan warna asal rambutnya yang sudah beruban. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Satu rawatan kontroversi yang dikenali sebagai suntikan rambut beruban mencetuskan fenomena di media sosial China, selepas seorang pelakon terkenal mendakwa ia mampu mengembalikan warna asal rambut yang sudah beruban.

Namun, pakar kesihatan memberi amaran mengenai keberkesanannya yang belum terbukti secara saintifik.

Pelakon popular China, Guo Tong, mengejutkan peminat apabila mendedahkan dia memulakan rawatan suntikan antiuban sejak Jun lalu.

Dalam satu video yang dimuat naik ke Douyin (versi TikTok di China), Guo berkongsi harapannya untuk mendapatkan semula warna rambut asal, namun mengakui tiada perubahan ketara selepas sebulan.

“Saya rasa sedikit sakit selepas suntikan pertama. Doktor kata tempoh rawatan mengambil masa tiga hingga enam bulan. Rambut beruban tidak berubah dalam sehari dua,” kata Guo dalam videonya yang kini telah ditonton jutaan kali.

Rawatan tersebut dijalankan di Hospital Yueyang, Shanghai, menggunakan teknik Perubatan Tradisional China (TCM) berasaskan suntikan adenosylcobalamin, sejenis vitamin B12. Ia dikatakan merangsang penghasilan melanin, pigmen yang memberikan warna kepada rambut.

Namun, pakar dermatologi Dr. Kong Yulong dari Hospital Nanjing Jiangbei memberi amaran tiada kajian klinikal kukuh yang menyokong keberkesanan suntikan ini.

“Vitamin B12 memang membantu dalam fungsi saraf dan peredaran darah. Jika seseorang kekurangan B12, ia mungkin memberi kesan kepada rambut beruban. Tetapi jika tidak, suntikan ini hampir tidak memberi apa-apa kesan,” katanya.

Walaupun masih dipertikaikan dari sudut saintifik, fenomena suntikan ini menyebabkan lonjakan jualan dalam talian dan menjadi topik hangat dalam kalangan pengguna media sosial di China.

Ada yang menganggapnya sebagai rahsia awet muda, manakala yang lain skeptikal, menyifatkannya sebagai satu lagi gimik kecantikan yang belum terbukti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×