KEPALA BATAS : Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) akan menganjurkan satu kursus perhubungan industri secara percuma kepada 100 orang peserta terpilih tidak lama lagi.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, kursus itu diadakan dengan kerjasama tiga kesatuan sekerja iaitu Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa (Uni-MLC).
“Kursus ini harganya lebih kurang RM3,000 setiap satu. Tapi, kita bagi percuma kepada ahli untuk ketiga-tiga kesatuan sekerja ini agar selepas ini, lebih ramai pengamal perhubungan perusahaan dapat dilahirkan untuk membantu dari segi tuntutan-tuntutan khususnya di Mahkamah Perusahaan.
“Jadi, saya harap mereka (ketiga-tiga kesatuan itu) dapat mengambil peluang ini untuk memberikan latihan ‘upskilling’ kepada ahli-ahli mereka dan seterusnya memberikan perkhidmatan ‘IR practitioner’ (pengamal perhubungan perusahaan) yang lebih baik kepada pekerja,” katanya.
Terdahulu, beliau menghadiri Hari Perhimpunan Kesatuan Sekerja peringkat kebangsaan 2025 yang turut dihadiri oleh kira-kira 3,000 peserta dari seluruh negara di Bertam di sini, hari ini.
Pada majlis itu, Presiden CUEPACS, Datuk Dr. Adnan Mat dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Menteri Sumber Manusia manakala Anugerah Tokoh Kesatuan Sekerja pula menjadi milik Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang.
Sementara itu, Steven berkata, Kesuma akan memperkasa peranan yang dimainkan di pusat-pusat sehenti tenaga kerja milik kementerian itu yang baru sahaja diwujudkan di empat lokasi ketika ini iaitu di Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Johor dan Sabah.
Katanya, langkah itu penting sebelum pihaknya mengambil keputusan memperluas perkhidmatan yang ditawarkan di pusat sehenti tersebut ke negeri-negeri yang lain pula.
“Tujuan pusat sehenti ini ditubuhkan ialah untuk menjadi pemudah cara bagi pemegang taruh kita, khususnya warga pekerja dan majikan semasa mendapatkan perkhidmatan-perkhidmatan dari semua jabatan dan agensi di Kesuma.
“Kita (Kesuma) ada sembilan jabatan dan lima agensi. Jadi, dengan adanya pusat sehenti ini, maka, mereka tidak perlu pergi ke merata tempat untuk mencari maklumat untuk mendapatkan perkhidmatan yang berkaitan,” ujar beliau.
Pada majlis yang sama, Steven turut mengumumkan mengenai pemberian dana berjumlah RM50,000 kepada Uni-MLC serta RM100,000 masing-masing kepada dua lagi kesatuan sekerja iaitu CUEPACS dan MTUC.-UTUSAN










