30 juta kaki persegi ruang pejabat kosong

30 juta kaki persegi ruang pejabat kosong

LANGKAH beberapa syarikat berpindah ke lokasi dan bangunan baharu yang lebih moden mewujudkan banyak ruang pejabat terbiar dan ditinggalkan usang di Kuala Lumpur. – UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Terdapat lebih 30 juta kaki persegi (kps) ruang pejabat tidak berpenghuni yang semakin usang di Kuala Lumpur, yang berpotensi mewujudkan isu baharu dalam sektor hartanah jika tidak ditangani dengan segera.

Saiz ruang pejabat itu bersamaan 10 kali keluasan Menara Merdeka 118 yang berkeluasan sekitar 3.1 juta kaki persegi (atau 278,709 meter persegi).

Kadar kekosongan hampir 20 peratus ruang pejabat itu, sekali gus menjejaskan kedudukan ibu negara sebagai nadi ekonomi dan sosial apabila semakin banyak blok pejabat lama dibiarkan usang tanpa penyewa.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut laporan Research for Social Advancement (REFSA), fenomena itu berpunca daripada perpindahan syarikat ke bangunan baharu yang lebih moden serta memenuhi piawaian kelestarian, manakala unit pejabat lama terus ter­pinggir.

Katanya, walaupun bangunan-bangunan tersebut berpotensi dinaik taraf, pasaran semasa tidak menjamin ia akan kembali menarik penyewa kerana persaingan sangat sengit.

“Daripada dibiarkan reput, lebih baik bangunan lama ini ditukar fungsi menjadi kedia­man. Strategi ini lebih kos efek­tif berbanding membina projek baharu, dan pada masa sa­ma dapat mengurangkan pe­lepasan karbon,” katanya dalam laporan itu.

REFSA berkata, kekosongan ruang pejabat itu turut memberi kesan berganda kepada pusat bandar apabila kadar sewaan terus menyusut, populasi penduduk tetap menguncup, malah pasaran perumahan hanya dikuasai dua kelompok ekstrem iaitu rumah lama usang dihuni golongan B40 serta pekerja migran, dan kondomini­um mewah untuk T20 serta ekspatriat.

Sehubungan itu, REFSA men­cadangkan dasar penuka­ran pejabat lama kepada kediaman (office-to-residential conversion) dilaksanakan bagi menghidupkan semula pusat bandar, dengan sasaran utama belia, pasangan muda dan pekerja bandar yang memerlukan rumah berhampiran tempat kerja.

Menurutnya, antara bangunan ikonik yang dikenal pasti berpotensi ditukar fungsi ialah Menara Maybank, Plaza Imbi, Wisma New Asia, Menara Raja Laut, Menara KH, Bangunan Lee Yan Lian serta bangunan bersejarah Standard Chartered Bank.

Namun, katanya, pelaksana­an berdepan pelbagai cabaran termasuk kekangan struktur bangunan, isu zon tanah, kos pengubahsuaian serta penentangan pemilik yang masih menaruh harapan kepada pasaran pejabat.

“Untuk memastikan pelaksanaan berjaya, kerajaan perlu mempertimbangkan insentif seperti pelepasan cukai, geran bandar, kerjasama awam-swasta dan pengambilalihan aset bermasalah,” katanya.

Menurutnya, beberapa negara maju telah membuktikan keberhasilan strategi tersebut antaranya, di Chicago, Amerika Syarikat, berjaya menukar pejabat kosong di LaSalle Street kepada apartmen mampu milik, manakala Singapura mengekalkan bangunan wari­san dengan menjadikannya pangsapuri servis moden.

Katanya, tanpa campur ta­ngan dasar yang jelas, pusat bandar Kuala Lumpur berisiko menjadi gugusan bangunan usang yang tidak menyumbang kepada pembangunan negara.

“Sebaliknya, jika dilaksanakan dengan teliti, strategi penukaran pejabat kepada kediaman boleh menjadi pemangkin kepada kebangkitan semula pusat bandar raya sebagai pusat ekonomi, sosial dan budaya yang lebih inklusif,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN