GENERASI Z (Gen Z) sering digambarkan sebagai celik teknologi, berani bersuara dan mudah menyesuaikan diri dengan perubahan.
Mereka membesar dalam dunia digital yang pantas berubah serta dipenuhi tekanan sosial dan ekonomi. Di Malaysia, mereka dilihat sebagai pelapis utama negara dengan aspirasi menjadi pemimpin dan pencetus perubahan.
Namun, sebahagian daripada mereka menunjukkan kecenderungan kepada kejayaan segera, ketahanan mental yang rendah serta terlalu bergantung kepada pengiktirafan media sosial.
Tinjauan Randstad dan kajian Deloitte menunjukkan ramai dalam kalangan Gen Z mengalami tekanan kewangan dan mental. Ramai juga menukar pekerjaan demi keseimbangan hidup atau merancang untuk berhenti kerja dalam tempoh singkat.
Walaupun vokal dalam isu keadilan, ramai dalam kalangan mereka kekurangan visi dan prinsip kepimpinan yang kukuh. Pew Research mendapati ramai menjadikan selebriti digital sebagai idola berbanding tokoh berintelek atau negarawan, menimbulkan persoalan mengenai sumber nilai mereka.
Krisis nilai ini turut berpunca daripada kegagalan generasi terdahulu menjadi teladan yang baik. Dalam dunia yang terlalu mementingkan persepsi, nilai seperti empati, kejujuran dan tanggungjawab perlu diketengahkan semula.
Gen Z menginginkan pemimpin yang berprinsip, jujur dan konsisten bukan hanya pandai berkata-kata tetapi juga memimpin dengan teladan.
Teori Kepimpinan Transformasi dan Servant Leadership menekankan keperluan kepimpinan yang berpaksikan nilai, empati dan semangat membimbing. Maka, ekosistem pembangunan kepimpinan perlu distruktur semula melalui latihan, pementoran dan pendidikan berasaskan nilai serta pemikiran kritikal.
Gen Z harus diberi pendedahan kepada tokoh sebenar yang memperjuangkan nilai, bukan sekadar pempengaruh popular.
Masa hadapan negara bergantung kepada jenis kepimpinan yang dibentuk hari ini. Gen Z bukan tidak mampu memimpin tetapi perlu dibimbing dengan contoh yang baik. Kepimpinan sebenar adalah satu amanah, bukan kemegahan. Tanggungjawab generasi kini ialah memimpin mereka melalui teladan, bukan hanya arahan.-UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. KHAIRUNESA ISA
Pensyarah Kanan,
Jabatan Sains Sosial,
Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum,
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)










