KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Sri Petaling, Bandar Baru Sri Petaling, di sini hari ini bersama kira-kira 1,000 jemaah.
Beliau tiba pada pukul 1.10 tengah hari dengan mengenakan baju Melayu berwarna ungu lengkap bersongkok, sebelum disambut mesra oleh pengurusan masjid serta para jemaah yang hadir lebih awal.
Anwar hadir ke masjid itu sempena program Temu Mesra Madani anjuran Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan.
Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar dan Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil.
Dalam khutbah bertajuk ‘Pemimpin dan Ulama Pemacu Ummah’, jemaah diingatkan agar mentaati pemimpin berlandaskan syariat Islam dalam mewujudkan keamanan dan kestabilan di negara ini.
Selepas solat Jumaat, Anwar menyampaikan tausiyah (nasihat) yang menyentuh tentang sambutan Maulidur Rasul serta perkara-perkara berkaitan hal ehwal negara kepada jemaah yang hadir. – UTUSAN











