SEREMBAN: Seorang lelaki yang merupakan bapa kepada dua kanak-kanak yang meninggal dunia selepas lemas apabila kereta dinaiki menggelongsor ke dalam sungai di Port Dickson semalam, direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Maslan Udin berkata, turut direman seorang wanita yang juga kekasih kepada suspek lelaki berkenaan.
Kata beliau, permohonan reman kedua-kedua suspek berusia 46 dan 41 tahun itu dibenarkan Mahkamah Majistret Seremban bermula hari in.
“Ia bagi membolehkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Katanya, polis kini juga sedang mengesan ibu kandung dua kanak-kanak berkenaan bagi membantu siasatan.
Terdahulu, media melaporkan, kes membabitkan dua beradik iaitu kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dan kanak-kanak perempuan berumur lapan tahun yang lemas dalam kejadian kereta menggelongsor ke dalam sungai di Tanjung Agas, Linggi, Port Dickson pagi semalam disiasat sebagai kes bunuh.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, sehubungan itu seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun iaitu bapa kepada mangsa dan seorang wanita tempatan berusia 41 tahun ditahan selepas memberikan keterangan meragukan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson.
“Semakan rekod lampau terhadap suspek lelaki didapati terdapat sebanyak 16 kes di mana empat kes masih dikehendaki (wanted) manakala suspek wanita tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
“Hasil saringan ujian air kencing kedua-dua suspek bagaimanapun adalah negatif. Dalam pada itu, semakan ke atas kereta terbabit didapati merupakan kenderaan yang dilaporkan hilang bersabit Nusa Bestari repot 359/22,” katanya. – UTUSAN











